[PARLIMEN] TUMPUAN Persidangan Dewan Rakyat hari ini pastinya membabitkan undian bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021.
RUU itu sudah diluluskan di peringkat dasar pada 26 November lalu menerusi undian suara majoriti, namun melalui laluan sukar apabila di peringkat jawatankuasa walaupun semua diluluskan dengan 25 daripada 27 kementerian sudah selesai sehingga semalam.
Daripada 25 kementerian itu, 16 kementerian diluluskan di peringkat jawatankuasa dengan undian suara majoriti manakala sembilan kementerian melalui undian belah bahagian, lapor Berita Harian.
Hari ini, dua lagi kementerian akan melalui perbahasan di peringkat jawatankuasa untuk diluluskan belanjawan bagi 2021 iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Dijangka pembangkang tidak akan memberikan laluan mudah untuk kedua-dua kementerian ini diluluskan.
Berdasarkan perkembangan semasa, ada kemungkinan pembangkang akan bangun menyokong undian belah bahagian untuk kedua-dua kementerian.
Semalam, undian belah bahagian dilakukan bagi meluluskan RUU Belanjawan untuk Kementerian Wilayah Persekutuan manakala kelulusan suara majoriti untuk Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.
Sembilan kementerian diluluskan menerusi undian belah bahagian adalah Kementerian Kewangan; Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Turut tersenarai Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Wilayah Persekutuan.
Semalam, di luar Dewan Rakyat, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menegaskan, pengumuman dan penggulungan Belanjawan 2021 baru-baru ini, dilihat tidak memenuhi apa dipohon dan diharapkan Ahli Parlimen malah harapan rakyat juga.
Mereka menyatakan, akan mengundi belah bahagian pada bacaan kali ketiga hari ini.
Kerajaan juga berhadapan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad (BEBAS- Langkawi) yang jelas semalam, menyatakan akan menolak Belanjawan 2021.
Kumpulan Dr Mahathir ini termasuklah tiga lagi Ahli Parlimen dari parti Pejuang iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir (BEBAS-Jerlun), Datuk Amiruddin Hamzah (BEBAS-Kubang Pasu) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (BEBAS-Sri Gading).
Malah, kerajaan juga akan kehilangan satu undi sokongan apabila Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) dalam sidang media bersama Dr Mahathir semalam mengisytiharkan tidak akan mengundi.
Berdasarkan undian untuk belah bahagian bagi sembilan kementerian, Tengku Razaleigh atau Ku Li sering tidak terbabit dalam pengundian atau tidak hadir.
Untuk rekod, ketika ini, BN memiliki 42 kerusi di Dewan Rakyat dengan pecahan Umno (38), MCA (dua), MIC (satu) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (satu); PN mempunyai 49 kerusi dengan pecahan BERSATU (31) dan PAS (18); GPS mempunyai 18 kerusi menerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) (13), Parti Rakyat Sarawak (PRS) (dua), Parti Demokratik Progresif (PDP) (dua) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) (satu) manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (satu) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) (satu) serta satu wakil rakyat bebas mesra PN, ahli parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang bagi menjadikan jumlah keseluruhan 112.
Sebelum ini, BN mempunyai 43 kerusi melalui Umno, tapi kerusi itu dikosongkan kerana Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia 16 November lalu.
Apa pun, Kerajaan mempunyai pilihan sama ada untuk meneruskan bacaan kali ketiga pada hari ini atau ditangguhkan esok.
Keputusan pengundian Belanjawan 2021 hari ini juga dilihat penting sebagai cerminan, sama ada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat sokongan atau sudah hilang kepercayaan Dewan Rakyat.
Ini pastinya akan membawa episod baharu dalam arena politik negara ini.
Selain perbahasan dan undian untuk RUU Belanjawan 2021, berdasarkan aturan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini, antara soalan menarik perhatian adalah isu Fitch Rating yang dibangkitkan Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Menteri Kewangan.
Guan Eng dalam soalan untuk Sesi Pertanyaan Menteri (MQT) meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah menangani keputusan mengejut Fitch Ratings menyemak turun penarafan kredit Malaysia.
Sementara itu, Datuk Seri Shamsul Iskandar (PH-Hang Tuah Jaya) meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memberi pencerahan mengenai pendedahan Laporan Ketua Audit Negara, baru-baru ini berkait penyalahgunaan dana Kerajaan oleh MIMOS Berhad.
Turut ditanyakan skim yang disediakan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk membantu peniaga dan usahawan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagi pertanyaan lisan antara yang akan dibangkitkan adalah langkah yang dibuat Kerajaan untuk meningkatkan keyakinan pelabur asing dan Program Subsidi Upah. -Malaysiapost

