Belanjawan 2021 lulus dengan kelebihan 3 undi

0
1

BACAAN kali ketiga Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan dengan undian belah bahagian yang menyaksikan seramai 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 108 tidak bersetuju.

Usul yang dibawakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz itu disokong Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Undi belah bahagian dilaksanakan susulan usul Ahli Parlimen blok pembangkang yang bangun melebihi 15 orang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kemudian mengarahkan undi belah bahagian dilaksanakan tanpa sebarang tempoh masa berikutan undi sama baru saja dijalankan untuk kelulusan Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa.

“Oleh kerana semua Ahli-Ahli Yang Berhormat ada di dalam dewan ini maka saya tidak akan tempohkan lagi dalam 10 minit,” katanya sebelum memerintahkan Setiausaha Dewan Rakyat membunyikan loceng selama dua minit.

Sebaik selesai proses undi belah bahagian dijalankan, Azhar mengumumkan keputusan undi yang mana ia memihak kepada kerajaan apabila mendapat 111 undi sokong, 108 tidak sokong manakala seorang tidak hadir.

Justeru, bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 diluluskan walaupun berbekalkan majoriti tiga undi.

Ia sekali gus menyaksikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kekal mentabir negara di sebalik usaha beberapa pemimpin cuba untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Pada masa sama, usaha bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang mengajak Ahli-Ahli Parlimen menolak Belanjawan itu tidak berhasil. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here