PEMIMPIN Umno yang didakwa menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, dinasihatkan membuat laporan polis, sekiranya ia adalah fitnah, kata Tan Sri Annuar Musa.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), itu berkata, individu berkenaan juga boleh membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Bagaimanapun katanya, jika perkara itu (tandatangani SD) benar, individu berkenaan perlu berterus terang supaya tiada kenyataan berbeza dengan parti.
“Setakat ini yang saya tahu, itu bukan di peringkat parti. Peringkat parti, sama ada Muafakat Nasional (MN) atau Majlis Tertinggi (MT) Umno tiada sebarang perbincangan untuk menandatangani SD.
“Maka, kita harap apa yang tersebar itu adalah tidak benar. Kali terakhir kita menandatangani SD adalah untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
“Justeru, mereka yang dikaitkan dengan tandatangan SD itu perlulah membuat laporan polis dan kepada SKMM sekiranya ia tidak benar,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Terdahulu, tular beberapa nama pemimpin Umno yang dikatakan menandatangani SD bagi menyokong Anwar.
Antara nama tersenarai termasuklah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Ahmad Jazlan Yakob.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, pihaknya sehingga kini masih dengan keputusan asal iaitu ‘No Anwar, No DAP’.
Ketika ditanya mengenai konspirasi pihak tertentu untuk mengubah pendirian parti, Annuar berkata, ancaman itu sentiasa ada memandangkan kerusi pihak pembangkang dan kerajaan menyaksikan perbezaan sedikit sahaja.
“Namun saya ingin tegaskan, di saat rakyat tengah mengalami kesusahan, kita tidak sepatutnya berpecah sebaliknya bergabung tenaga untuk menyelesaikan masalah,” katanya. -Malaysiapost

