BARU sahaja politik negara lega dengan selesainya krisis pelantikan Menteri Besar Perak, kini kemelut perebutan kuasa jawatan nombor satu negara kembali diperkatakan.
Kenyataan terbaharu daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membawa suara Pakatan Harapan (PH), memberitahu beliau kini mempunyai sokongan lebih jitu iaitu 10 Ahli Parlimen Umno termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua pembangkang itu turut dikatakan mempunyai sokongan dalam bentuk akuan bersumpah (SD) daripada 10 Ahli Parlimen itu yang akan dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Biarpun dikatakan mempunyai sokongan baharu 10 Ahli Parlimen daripada Umno, namun Anwar tetap masih belum dapat mengumpulkan SD yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.
Dengan penambahan 10 sokongan Ahli Parlimen tersebut Anwar masih tidak mempunyai majoriti mudah, apatah lagi sokongan ‘kukuh’ dan ‘meyakinkan’ seperti yang didakwanya sebelum ini.
Sementara itu, selain ahli Parlimen Umno, Anwar juga dikatakan mempunyai sokongan dua lagi Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan pertambahan beberapa lagi Ahli Parlimen yang dikatakan dahulunya bernaung di bawah parti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sumber berkata, sokongan Umno kepada PH yang juga dianggotai oleh DAP itu dicetuskan semasa krisis politik kerajaan negeri Perak baru-baru ini.
Namun, ia digagalkan setelah Majlis Tertinggi (MT) Umno menolak kerjasama parti itu dan PH.
Malaysiapost sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dalam kenyataannya berkata, kini terdapat konspirasi menggagalkan dasar menolak Anwar serta DAP.
Katanya, tindakan licik itu termasuk mengumpul SD, memujuk pihak untuk sokongan, cubaan untuk menimbulkan kemarahan kerajaan serta mengusik institusi Diraja.
“Liciknya pihak yang kempunan kuasa, yang berharap mengambil alih kuasa amat bijak mengatur strategi. Mereka pura-pura letak DAP di saf belakang agar mereka mudah mempedaya kelompok ‘no DAP no Anwar’.
“Watak ini telah sekian lama menghantui politik negara..tetapi mereka mungkin tidak sedar, gerakan mereka sudah dibaca,” ujarnya. – Malaysiapost

