Muhammad Mustakim Ramli
TITAH Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perak semalam supaya dizahirkan usaha reformasi dan penambahbaikan sistem politik sedia ada, perlu dilakukan agar permainanan politik atas landasan menjaga kepentingan golongan elit ahli politik dapat dihentikan.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata seluruh pihak termasuk kalangan Ahli Parlimen umumnya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak khususnya harus bersama mengangkat agenda perubahan sistem politik yang lebih baik bagi menghentikan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa berterusan.
“Yang paling utama ialah menggubal undang-undang seperti Akta Pelucutan Ahli Parlimen untuk memelihara mandat yang diberikan rakyat semasa pilihan raya daripada dipermainkan pemimpin politik.
“Ini termasuklah membataskan kuasa lantikan ahli politik dalam badan-badan tertentu seperti GLC yang tidak munasabah yang boleh dilihat sebagai sogokan politik demi mendapat sokongan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Abim menekankan bahawa perubahan itu harus dilakukan segera agar rakyat tidak lagi putus harapan kepada amalan demokrasi di negara ini kerana ia asas utama menjaga kestabilan politik.
“Dalam masa sama, Abim menegaskan seluruh pemimpin politik harus bermuhasabah atas situasi krisis kepercayaan rakyat yang semakin menebal terhadap institusi politik kini,” katanya.
Semalam, Sultan Perak bertitah mahu kemelut kepimpinan kerajaan negeri itu membabitkan jawatan Menteri Besar yang mula tercetus sejak Jumaat lalu berakhir dan pelantikan Menteri Besar sebanyak tiga kali sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 adalah cerminan kegagalan kepimpinan ahli politik.
“Ini sejarah baharu yang tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal DUN sebelum ini. Tetapi perkara ini bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan, perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan.
“Kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat,” titah baginda.
Baginda bertitah, rakyat meletakkan harapan kepada wakil rakyat untuk menambah baik kawasan tempat tinggal mereka, membantu menyediakan keperluan dan perkhidmatan, membantu meningkatkan taraf ekonomi serta memenuhi sebanyak mungkin keperluan sosial mereka.
Titahnya, rakyat pelbagai kaum dalam semua kawasan diwakili Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) mahukan sebuah negeri aman, dengan pemerintahan melaksanakan keadilan dan membina kerukunan, supaya mereka dapat hidup dalam semangat saling menghormati serta harmoni. – Malaysiapost

