JUARA dunia, Lewis Hamilton hari ini diberikan lampu hijau untuk kembali berlumba pada penamat musim Formula Satu Grand Prix Abu Dhabi hujung minggu ini selepas pulih daripada Covid-19.
AFP melaporkan Hamilton, 35, terlepas saingan hujung minggu lalu di GP Sakhir tetapi FIA dan Mercedes masing-masing mengesahkan pemandu itu sudah beberapa kali merekodkan ujian negatif Covid-19 ketika kuarantin 10 hari di Bahrain.
George Russell, yang menggantikan Hamilton minggu lalu dan hampir mencatat kemenangan, akan kembali ke pasukannya Williams.
“FIA, Formula 1 dan Mercedes-AMG Petronas F1 Team hari ini mengesahkan Hamilton mencatat beberapa kali ujian negatif Covid-19,” kata kenyataan pasukan itu.
“Dia sudah melengkapkan kuarantin 10 hari di Bahrain dan boleh meninggalkan negara itu mengikut peraturan pihak berkuasa kesihatan Bahrain.
“Lewis kini sudah tiba di Abu Dhabi selepas menerima pengesahan daripada pihak berkuasa yang dia boleh melakukannya dan selepas kuarantin yang mendapati ujiannya adalah negatif.” – Malaysiapost

