Muhammad Mustakim Ramli
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan untuk tidak mengadakan sebarang istiadat pada Hari Keputeraan ke-75 baginda.
Baginda bertitah, namun Istiadat Penganugerahan dan Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor akan dilaksanakan pada tarikh yang akan ditetapkan bergantung kepada keadaan semasa wabak Covid-19.
“Seperti yang rakyat sedia maklum, sepanjang tahun 2020 ini kita telah diberi ujian oleh Allah SWT dengan pelbagai dugaan dan cabaran terutama sekali cabaran berdepan dengan wabak Covid-19 yang melanda dunia.
“Menambahkan lagi ketakutan dan keresahan kita ialah apabila musuh yang kita sedang hadapi ini tidak dapat kita lihat dengan mata kasar dan telah mengakibatkan jangkitan ke seluruh dunia sehingga ke hari ini kepada seramai lebih 67 juta orang serta kematian yang telah mencecah angka lebih 1.5 juta orang.
“Angka ini akan terus bertambah dari sehari ke sehari dan tentunya amat membimbang dan merisaukan kita semua kerana kita masih tidak pasti bilakah wabak ini akan berakhir,” titah baginda, hari ini.
Sultan Sharafuddin bertitah, baginda amat terkesan dan berasa simpati dengan keadaan kehidupan yang rakyat hadapi buat masa ini dan sentiasa mengambil berat dan memantau masalah rakyat.
“Beta dengan sering mengingatkan Menteri Besar Selangor dan kerajaan agar menyelami masalah rakyat dan mencari jalan bagi mengatasi masalah ekonomi yang sedang dihadapi oleh rakyat Beta.
“Beta menyeru kepada pemimpin politik untuk turun bersama rakyat bagi mengenalpasti masalah rakyat dan berusaha keras ke arah membantu mengatasi masalah mereka terutama mereka yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19 ini,” titahnya.
Sementara itu, baginda bertitah mengucapkan penghargaan kepada para doktor, jururawat, kakitangan hospital serta barisan hadapan yang telah melaksanakan tugas mereka tanpa mengenal penat lelah bagi merawat mereka yang dijangkiti dengan Covid-19 serta mencegah penularan wabak itu.
“Oleh itu, bagi menghargai jasa mereka yang telah berkorban ini, beta telah perkenan untuk menganugerahkan kepada mereka dengan bintang kebesaran dan pingat Negeri Selangor. Semoga dengan penganugerahan ini akan dapat menaikkan semangat petugas hadapan ini untuk meneruskan tugas mereka dengan penuh dedikasi,” titahnya. – Malaysiapost

