KURANG sejam didakwa kes seks luar tabii, bekas peserta rancangan realiti berbentuk keagamaan, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful didakwa lagi atas pertuduhan kedua iaitu mencabul.
Syed Shah Iqmal atau dikenali sebagai Da’i Syed didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
Pertuduhan itu memperuntukan hukuman penjara 10 tahun jika sabit kesalahan.
Tertuduh berusia 25 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir, lapor Malaysia Gazette.
Berdasarkan kertas pertuduhan kedua itu, dia dituduh melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul terhadap mangsa berusia 22 tahun di rumah sewa tertuduh di Empire City, Damansara Perdana antara jam 3 hingga 5 pagi, 17 Oktober lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Zamriah Zarifah Aris berkata, status pendakwah bukan syarat untuk membenarkan ikat jamin ke atas tertuduh.
Namun sekiranya dibenarkan, wang jaminan adalah RM100,000, tegas beliau.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Syed Amirul Syed Edros dalam hujahan rayuannya memohon dibenarkan ikat jamin dengan alasan tertuduh tidak memiliki pendapatan sejak empat bulan dan menyara keluarga sejak 2017 selepas bapanya meninggalkan mereka.
Mohd Ikhwan kemudian menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Selesai prosiding, tertuduh yang juga penyanyi dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atau merogol.
Sehingga hari ini, terdapat sembilan laporan polis telah dibuat di Shah Alam dan Petaling Jaya terhadap selebriti itu. – Malaysiapost

