Isteri Syafiq dipindahkan ke HKL

0
1

ISTERI pemain kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad yang dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) susulan nahas jalan raya Ahad lalu, dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Nur Amalina Norain, 25, dilaporkan stabil namun dipindahkan ke HKL jam 6.45 pagi tadi untuk rawatan pakar berkaitan saraf.

Isnin lalu, Nur Amalina selamat menjalani pembedahan di bahagian perut di HSJ selepas mengadu sakit di bahagian itu dan belakang badannya selepas dipindahkan dari Hospital Sungai Bakap (HSB).

Bapa Muhammad Syafiq, Ahmad Ibrahim berkata keadaan kesihatan menantunya baik namun pakar di HKL dan HSJ memutuskan dia dipindahkan bagi membolehkan pakar di Kuala Lumpur memantau keadaannya.

Ahmad berkata, dia sekeluarga bersama Muhammad Syafiq serta cucunya, Aaira Nur Saffiyya, 2, turut berada di ibu negara bagi menemani Nur Amalina sehingga dia sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

“Setakat hari ini, tumpuan kami sekeluarga adalah kesihatan Nur Amalina, kami mahu dia segera sembuh, kami juga sentiasa memberi kata kata semangat kepadanya.

“Meskipun emosi menantu bertambah baik, namun kami seboleh mungkin tidak bercakap mengenai kejadian yang menimpa buat masa ini kerana mahu dia pulih dari segi emosi dan fizikal terlebih dahulu” katanya memetik laporan Astro Awani.

Ahmad berkata, Aaira Nur Saffiyya telah dibenarkan keluar dari HSJ Isnin lalu dan tidak mengalami kecederaan serius.

Malah katanya, keadaan Muhammad Syafiq semakin baik dan telah memberi kenyataan dan membuat laporan berhubung nahas itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di Jawi, Nibong Tebal semalam.

Beliau turut melahirkan rasa terkilan dengan laporan yang mendakwa anaknya terlelap ketika memandu sehingga menyebabkan kenderaan dipandunya terbabas.

Dalam kejadian jam 4 pagi Ahad lalu, Toyota Vellfire dipandu Muhammad Syafiq hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di lebuh raya PLUS dekat Sungai Bakap sebelum terseret sejauh kira-kira 30 meter.

Akibat kejadian itu, anak lelaki pemain bola sepak itu yang berusia 22 hari, Muhammad Aisy Saqeef dan ibu mentua Muhammad Syafiq, Zainab Wahab, 45, serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an, meninggal dunia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here