Bekalan air di 664 kawasan pulih sepenuhnya – Air Selangor

0
2

BEKALAN air di 664 daripada 861 kawasan di Lembah Klang yang mengalami gangguan sejak awal pagi semalam, telah dipulihkan setakat jam 6 padi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata daerah Kuala Selangor pulih sepenuhnya diikuti Petaling mencatat 99 peratus pemulihan.

Kuala Lumpur pula (95.5 peratus), Hulu Selangor (82.6 peratus), Klang/Shah Alam (61.8 peratus), Gombak (61.7 peratus) dan Kuala Langat (50 peratus).

Beliau berkata, usaha menstabilkan sistem bekalan air di baki 197 kawasan yang masih lagi terjejas, kini dipergiatkan.

“Bantuan bekalan air alternatif melalui pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS), masih lagi disediakan untuk kemudahan pengguna yang masih terjejas.

“Air Selangor menasihatkan pengguna untuk mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki, PKS dan pili-pili awam yang disediakan,” katanya menerusi kenyataan.

Semalam, sebanyak 861 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat mengalami masalah bekalan air.

Ini berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3, dan Rantau Panjang dalam tempoh lima jam disebabkan pencemaran air mentah di Sungai Selangor.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan berkata, masalah itu disebabkan pencemaran air mentah di Sungai Selangor dipercayai berpunca daripada kolam akuakultur ikan keli. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here