
Fitri Nizam
PENGAMBILALIHAN semula FGV Holding Berhad dengan kawalan statutori membolehkan pelan transformasi dan penstrukturan semula diteruskan untuk memperkukuhkan perniagaan teras dalam sektor perladangan.
Menerusi pengambilalihan itu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ir Khairil Nizam Khirudin, berkata FELDA telah memeterai perjanjian belian saham bersyarat bersama Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) membabitkan 222.48 juta saham FGV yang mewakili 6.1 peratus pada harga RM289.2 juta atau RM1.30 sesaham.
FELDA juga, katanya, memeterai perjanjian pembelian saham dengan Urusharta Jamaah Sdn Bhd membabitkan pembelian 283.71 juta saham FGV, mewakili 7.78 peratus kepentingan ekuiti dalam FGV pada harga RM368.8 juta atau RM1.30 sesaham.
“Ikhtiar ini menjadikan FELDA berserta pihak yang berkepentingan sama (PAC) akan secara kolektif memegang lebih 50 peratus saham-saham FGV,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Khairil Nizam, pengambilalihan semula FGV Holding Berhad oleh FELDA juga memangkin usaha untuk mengambil semula tanah yang dipajakkan kepada FGV melalui Perjanjian Pajakan Tanah (LLA), pengambilalihan semula kilang-kilang pemprosesan sawit serta meneliti semula perjanjian yang ada.
“Pemuda PN percaya pengambilalihan ini akan meningkatkan keupayaan FELDA untuk menguasai tanah ladang dan penyepaduan rantaian nilai FGV.
“Ini membolehkan FELDA menyediakan ruang terbuka buat generasi baharu peneroka, menyertai pasaran perniagaan agro berasaskan ladang serta meneroka perniagaan hiliran seperti penjualan baja dan racun,” katanya.
Menurutnya lagi, Pemuda PN yakin usaha itu adalah komitmen Kerajaan Persekutuan yang tuntas melaksanakan pemulihan termasuk menstruktur semula pengurusan FELDA. – Malaysiapost
