[PARLIMEN] SERAMAI 2,742 rakyat Malaysia kini meringkuk dalam penjara di negara luar dengan separuh daripadanya ditahan berkaitan kes dadah.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar, berkata kes berkaitan penipuan pula adalah kedua tertinggi yang menyebabkan rakyat Malaysia ditahan di luar negara.
“Paling utama ialah dadah iaitu 1,434 orang manakala kes penipuan (406 orang), kad kredit palsu (132 orang), kastam (89 orang) dan imigresen (66 orang).
“Setakat maklumat yang saya (ada), tiada statistik mengenai jumlah rakyat Malaysia yang dipenjarakan seumur hidup atau berdepan hukuman mati (di luar negara).
“Tetapi dalam jangkaan dan perkiraan saya, mungkin semua ini membabitkan hukuman berbentuk penjara dalam jumlah masa tertentu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) mengenai jumlah rakyat Malaysia yang berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup di luar negara. – Malaysiapost

