Krisis Perak: Muhyiddin, Hadi adakan pertemuan petang tadi

0
1

KEPIMPINAN PAS dan Bersatu bertemu bagi membincangkan kemelut politik yang melanda Perak petang tadi.

Pertemuan PAS-Bersatu itu dipercayai ada kaitan dengan kegagalan mana-mana parti setakat ini, memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan, seterusnya melantik menteri besar yang baharu di Perak.

Memetik laporan Berita Harian, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Bersatu, mengesahkan pertemuan yang berlangsung di antara parti itu dengan kepemimpinan PAS petang tadi.

Ketika dihubungi, beliau enggan mengulas perincian pertemuan berkenaan kerana ia akan dimaklumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tempoh terdekat.

Dalam pertemuan itu, Ahmad Faizal mengiringi Muhyiddin bertemu dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Turut hadir Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Sabar, nanti bila tiba masa, bos teman (Muhyiddin) akan maklumkan. Mana boleh saya mendahului. You (awak) fahamkan?

“Ampun maaf. Saya tak boleh mendahului pemimpin saya dalam pemakluman perkara dibincangkan. Saya percaya saudara faham kedudukan saya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menjelaskan pertemuan tertutup itu diadakan di Bangunan Parlimen di sini, kira-kira jam 2 petang tadi.

Katanya, pertemuan itu membincangkan krisis politik di Perak susulan kegagalan undi percaya terhadap Ahmad Faizal dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), Jumaat lalu.

“Ia bukan mesyuarat rasmi, hanya pertemuan di antara Presiden PAS dan Presiden Bersatu serta beberapa pemimpin tertentu.

“Bagaimanapun, saya tidak pasti hasil perbincangan itu kerana saya tidak menyertainya,” katanya.

Jumaat lalu, pengundian usul ‘Undi Percaya’ terhadap kepemimpinan Ahmad Faizal yang dikemukakan Adun daripada Umno, hanya meraih 10 sokongan, berbanding 48 yang menolak, mana kala satu undi rosak.

Adun daripada Umno yang mencadang serta menyokong pembentangan usul terbabit dalam DUn Perak, turut mengundi menolak usul berkenaan.

Keputusan undian itu menyebabkan sidang DUN Perak ditangguhkan, dan Ahmad Faizal kemudiannya meletakkan jawatan.

Jawatan Menteri Besar Perak kini menjadi tuntutan oleh Umno yang mempunyai 25 wakil daripada 59 kerusi dalam DUN Perak.

Keadaan itu membuatkan calon daripada parti itu memerlukan sokongan sekurang-kurangnya lima lagi undi bagi memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri, seterusnya melantik Menteri Besar yang baharu.

Selain Umno yang mempunyai 25 kerusi, Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada Amanah, PKR dan DAP turut menguasai 24 kerusi, manakala Bersatu (5), PAS (3) masing-masing satu kerusi oleh Gerakan dan Bebas. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here