Nurul Huda Abhar
AHLI Dewan Negara Perak, Datuk Seri Annuar Zaini mengakui sudah memaafkan tindakan seorang pengguna Facebook yang menularkan gambarnya bersama Ketua Pemuda DAP, Howard Lee dengan kenyataan ‘nakal’ di laman sosial baru-baru ini.
Annuar berkata, sebagai orang yang lebih berusia beliau ingin menasihati pemilik akaun FB, Herman Haassan yang juga Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
agar tidak berpolitik sehingga menjejaskan hubungan baik sesama insan.
“Herman Haassan, sebagai orang tua yang sudah berusia 70 tahun, saya melihat anda sebagai adik mungkin juga anak kerana saya tidak pernah teringat menemui anda.
“Ambillah pelajaran daripada kesilapan ini. Berpolitik jangan sampai menjejaskan silaturahim sesama insan. Sifat memberi maaf adalah sifat-sifat yang terkandung dalam Asmaulhusna, 99 nama Tuhan.
“Saya memaafkan tersilap percaturan perbuatan anda. Jadikanlah satu pengajaran berharga sepanjang hayat agar terlindung daripada melakukan kesilapan yang lebih besar,” tulisnya dalam hantaran di laman FBnya, hari ini.
Dalam hantaran berasingan, Annuar menjelaskan gambar yang tersebar di FB itu dirakam ketika beliau membuat ‘food tasting’ di sebuah restoran yang baru beroperasi pada Oktober lalu.
Terdahulu, tular gambar Annuar bersama Howard yang dimuat naik Herman dengan catatan “kerjasama mantap Ketua Pemuda DAP, Howard Lee dan Annuar Zaini”.
Ianya didakwa merujuk kepada isu perletakkan jawatan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas tewas dalam usul undi percaya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Jumaat lalu.
Hanya 10 daripada 59 Adun menyokong usul itu berbanding 48 yang menolak, manakala satu undi rosak atau berkecuali.
Selain itu, DAP dan PKR dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan bersedia untuk bekerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan negeri Perak yang baharu selepas perletakan jawatan Ahmad Faizal.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, parti itu akan memberi kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri baharu yang lebih stabil. –Malaysiapost
Foto Kredit: Malay Mail

