CHELSEA melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris hasil kemenangan 3-1 ke atas Leeds di Stamford Bridge, awal pagi tadi.
Anak buah Frank Lampard bagaimanapun terpaksa bangkit di depan 2,000 penyokongnya selepas Leeds membuka jaringan menerusi bekas pemain The Blues, Patrick Bamford.
Kehadiran penyokong buat kali pertama selepas sembilan bulan ternyata tidak sia-sia apabila Chelsea bangkit merakam kemenangan menerusi jaringan Olivier Giroud, Kurt Zouma dan Christian Pulisic, melebarkan rekod tanpa kalah kepada 16 perlawanan.
“Kami adalah pasukan dalam pembikinan. Apabila anda membawa masuk pemain-pemain baharu dan mempunyai pemain muda, mereka yang berhijrah ke negara baharu, kota yang berbeza, rakan sepasukan baharu, ia mengambil masa.
“Saya rasa masih banyak yang boleh ditingkatkan. Sama ada di musim ini kami akan mencapai kemuncaknya, saya tidak tahu.
“Ia musim yang panjang. Cabaran kami adalah kekal konsisten tetapi kami di landasan betul,” kata Lampard seperti dilapor AFP.
Edouard Mendy hanya dibolosi sekali dalam enam penampilan liga sebelumnya, sekali gus menyelesaikan masalah Chelsea di gawang.
Namun penjaga gol Ivory Coast itu menjadi sebahagian daripada punca Leeds mendapat jaringan awal menerusi Bamford hanya selepas empat minit.
Bekas pemain Chelsea itu meledak gol kelapannya dalam 11 perlawanan dengan menewaskan Mendy yang teragak-agak selepas hantaran Kalvin Phillips membelah pertahanan tuan rumah.
Giroud disenarai dalam kesebelasan utama Liga Perdana buat pertama kali musim ini selepas meledak empat gol ke atas Sevilla dalam saingan Liga Juara-Juara Khamis lalu.
Sementara itu, Manchester City dan Manchester United turut meraih tiga mata menentang lawan masing-masing, di mana Manchester City menundukkan Fulham 2-0, manakala Manchester United mengalahkan West Ham United 1-3.-Malaysiapost

