TIGA termasuk dua kanak-kanak dipercayai sekeluarga, ditemui maut dalam kebakaran sebuah unit rumah kedai tiga tingkat di Jalan Kampar Barat 3 di sini, pagi tadi.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Nor Rasidamayati Abd Rasid, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran di tingkat satu bangunan itu pada jam 10.03 pagi tadi.
“Kami mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar ke lokasi bagi kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran sejurus menerima panggilan.
“Jentera tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Nor Rasidamayati berkata, selepas api dipadamkan, pihaknya menemui seorang wanita dipercayai jururawat berusia 35 tahun bersama dua kanak-kanak, masing-masing lelaki dan perempuan berusia tujuh dan 12 tahun di atas katil premis itu.
Katanya, ketiga-tiga mangsa yang melecur teruk disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat. – Malaysiapost

