Fitri Nizam
PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Labuan ditamatkan kecuali beberapa daerah yang masih mencatatkan kes tinggi dan berisiko berlaku penularan Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPB di Pulau Pinang ditamatkan bermula esok kecuali dua daerah iaitu Barat Daya dan Timur Laut yang masih mencatatkan peningkatan kes.
Justeru, kedua-dua daerah itu akan meneruskan PKPB bermula 7 hingga 20 Disember depan.
“Di Perak, PKPB ditamatkan kecuali di daerah Kinta, Mukin Teja dan Mukim Changkat Jong.
“Selain itu, PKPB di Kelantan ditamatkan bermula esok kecuali Kota Bharu, Pasir Mas, Machang dan Tanah Merah yang masih mencatatkan kes baharu positif Covid-19,” katanya pada sidang media hari ini.
Ismail Sabri berkata, Negeri Sembilan juga ditamatkan PKPB melainkan dua daerah iaitu Seremban dan Port Dickson.
“Di Johor, PKPB di daerah Johor Bahru, Batu Pahat, Kulai dan Kota Tinggi dilanjutkan manakala selebihnya ditamatkan mulai esok,” katanya.
Bagaimanapun, Ismail Sabri mengumumkan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah dilanjutkan bermula 7 hingga 20 Disember berikutan masih menunjukkan peningkatan kes.
“PKPB di Selangor diteruskan kecuali tiga daerah yang diketegorikan sebagai zon hijau iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor manakala seluruh Kuala Lumpur masih dalam PKPB.
“Berdasarkan laporan semasa situasi Covid-19 di Sabah, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan PKPB di keseluruhan negeri itu bermula 7 hingga 20 Disember,” katanya.
Beliau itu turut mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di seluruh negara termasuk di dua lokaliti iaitu Flat Jalan Paya Terubong dan Flat Desa Bistari dalam daerah Timur Laut, Pulau Pinang membabitkan 14,000 penduduk.
Selain itu, PKPD dikenakan di Madrasah Ad-Diniah Al Falahiah, Kampung Dalam Huma, Bukit Awang, Pasir Putih, Kelantan.
“Di Perak, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPD di Depot Tahanan Imigresen Langkap, Perak,” katanya.
PKPD di kesemua lokaliti yang diumumkan berkuatkuasa bermula 6 hingga 19 Disember. – Malaysiapost

