Fitch Ratings: Kenyataan balas Menteri Kewangan membimbangkan – Anwar

0
1

KENYATAAN balas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkaitan semak turun Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) amat membimbangkan, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia setelah Fitch Ratings menurunkan IDR matawang asing jangka panjang Malaysia kepada ‘BBB+’ dari ‘A-‘ untuk pertama kali sejak krisis kewangan 20 tahun lalu.

Anwar berkata, Tengku Zafrul gagal menjawab persoalan dan kebimbangan yang dilaporkan Fitch, yakni kestabilan politik dan tatakelola.

Beliau berkata, Langkah Sheraton Februari lalu tidak hanya menimbulkan kekacauan politik, malah permulaan usaha menginjak batu asas reformasi institusi yang telah digerakkan kerajaan Pakatan Harapan.

“Kerajaan minoriti ini yang tidak punya keabsahan sama sekali dari rakyat telah
menyalahgunakan fungsi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi
mendapatkan dukungan.

“Wabak Covid-19 telah menunjukkan kita sebagai sebahagian dari masyarakat
global adalah saling berkait dan berhubung, termasuk dalam hal-hal kesihatan awam
dan perdagangan.

“Tidak terkecuali adalah aspek keselamatan modal, pengemudian tatakelola yang jelas dan tegas, dan bagaimana harus Malaysia ini dijadikan sebagai destinasi pelaburan terbaik yang akhirnya akan mencorak jalan keluar dari wabak ini,” katanya menerusi kenyataan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata tindakan Menteri Kewangan membanding Malaysia dengan negara-negara yang prestasi jauh lebih rendah adalah tidak tepat dan mengelirukan.

“Kita harus lihat Malaysia hari ini dengan era lalu di mana negara tercinta ini adalah antara kuasa ekonomi serantau.

“Tidak ada perubahan nyata, dan negara-negara serantau seperti Indonesia, Singapura dan Vietnam telah mula mendakap realiti digital dunia hari ini.

“Wujud sedikit harapan bahawa pelantikan seorang teknokrat seperti Menteri
Kewangan akan dapat meminimakan jurus dan langkah politik.

“Namun jelas beliau gagal menggarap tanggungjawab dalam mempersiap negara dengan jalan keluar bersama pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan,” katanya.

Anwar berkata, pihaknya masih belum tahu dari mana sumber dana bagi memperoleh vaksin COVID-19, dan bagaimana kerajaan akan membangunkan semula tunjang ekonomi negara iaitu perusahaan kecil dan sederhana yang rata-ratanya dari kalangan Melayu dan Bumiputera yang terjejas teruk.

Semak turun penarafan itu, katanya, hanya mengukuhkan tanggapan selama ini bahawa Malaysia perlukan sebuah kerajaan yang komited pada agenda reformasi serta telus, inklusif dan punya halatuju jelas.

“Sebaliknya apa yang dihidangkan kepada kita adalah kekeliruan dan ketidakstabilan, yang pastinya akan merencatkan usaha untuk keluar dari wabak ini dengan jayanya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here