Pemuda Umno gesa KWSP tidak berdolak dalih, segerakan penambahbaikan

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

PERGERAKAN Pemuda Umno Malaysia menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak lagi cuba berdolak dalih dan segera melakukan tindakan korektif serta penambahbaikan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sejak pengumuman perincian berkenaan inisiatif i-Sinar oleh KWSP kelmarin, pihaknya menerima puluhan ribu maklum balas dipelbagai wahana termasuk media sosial, aplikasi whatsapp dan telefon.

Katanya, maklum balas yang diterima menzahirkan kemarahan dan kekecewaan terhadap keputusan KWSP yang dilihat lebih menyulitkan berbanding harapan yang diberikan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Majoriti rakyat yang bersuara bertanggapan bahawa KWSP tidak ikhlas dan dilihat gagal menterjemahkan suara hati dan janji kerajaan untuk meringankan beban mereka yang ketika ini berhadapan dengan kesusahan dan kepayahan hidup yang nyata di era pandemik.

“Justeru, Pemuda Umno menggesa KWSP tidak lagi cuba berdolak dalih dan segera melakukan tindakan korektif dan penambahbaikan,” katanya menerusi Facebook.

Katanya, tiga cadangan utama Pemuda Umno adalah seperti memansuhkan segala syarat yang menyusahkan pencarum yang ingin mengeluarkan wang simpanan mereka.

“Selain itu, mengurangkan karenah birokrasi dengan menyingkatkan tempoh untuk pemohon menerima bayaran pertama daripada tiga bulan kepada maksimum satu bulan.

“Serta memberikan pilihan kepada ahli KWSP untuk mengeluarkan maksimum RM10,000 sekaligus (one-off) setelah permohonan diluluskan,” katanya.

Dr. Asyraf berkata, di samping tiga cadangan awal ini, Pemuda komited dengan janjinya sebagai pemantau kepada pelaksanaan i-Sinar ini dan akan terus membawakan segala suara hati dan aduan rakyat kepada kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here