Hikmah tak disangka, Masjid WP dapat karpet baharu

0
2

DI SEBALIK negara sedang dilanda pandemik Covid-19, terdapat juga hikmah kebaikan yang muncul tanpa disangka.

Begitulah yang berlaku kepada Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur yang telah menerima sumbangan untuk menukar karpet baharu, hari ini.

Setelah 20 tahun, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Ajib Ismail berkata, pihaknya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Sahabat Masjid Wilayah Persekutuan kerana berjaya mengumpul dana bagi menukarkan karpet yang digunakan di Dewan Solat Utama kepada yang baharu.

“Kami bersyukur dan rasa teruja kerana usaha dari Persatuan Sahabat Masjid, di mana tokoh korporat yang menjadi ahli sahabat masjid bekerjasama mengumpul duit hingga dapat merealisasikan mengganti karpet lama kepada yang baharu.

“Sudah pasti, logiknya bila berlaku pandemik, kena PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pastilah masjid tidak dapat mengadakan aktiviti untuk mendapatkan sumbangan orang ramai.

“Malah, kami tidak menyangka karpet ini dapat ditukar baharu kerana kalau ikutkan hasil kutipan sumbangan solat Jumaat sebelum PKP pun tidak sebanyak ini yang membolehkan karpet ini ditukar,” katanya pada majlis penyerahan karpet baharu, hari ini.

Menurut Mohd Ajib yang juga Pengerusi Masjid itu, kekangan peruntukan selama ini telah merencatkan usaha pihak pentadbiran untuk menambahbaik kemudahan yang terdapat di masjid tersebut.

“Atas inisiatif sahabat masjid ini dan mungkin juga kepada sahabat di masjid yang lain, dapat membantu masjid-masjid menambah baik kemudahan yang ada.

“Insya-Allah, dengan bantuan sahabat masjid ini, beberapa kemudahan lain kita akan perbaharui atau baik pulih, logiknya memang setiap masjid tidak mampu di waktu PKP ini, tetapi mereka telah membantu,” katanya

Sejumlah RM659,795 disumbangkan oleh Persatuan Sahabat Masjid Wilayah Persekutuan untuk menukar 890 unit karpet baharu di Dewan Utama Solat masjid ini.

“Setiap unit karpet berukuran 10 kaki kali 4 kaki berharga RM746,” katanya. – MalaysiaPost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here