REMAN ke atas empat suspek serangan ke atas dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Padang Besar hujung bulan lalu, dilanjutkan enam dan tujuh hari lagi.
Perintah lanjutan reman itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar, Siti Nor Hasliza Md Ali, selepas mendapat permohonan polis bagi meneruskan siasatan kes terbabit.
Reman ke atas warga Thailand dan lelaki dipercayai ketua sindiket berusia 45 tahun disambung tujuh hari, manakala dua lagi suspek warga tempatan berusia 22 dan 26 tahun disambung enam hari.
Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta cubaan membunuh.
Berikutan itu, semua suspek dibawa kembali ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut.
Dalam insiden jam 3.10 pagi di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, meninggal dunia di lokasi selepas terkena tembakan, manakala rakannya, Sarjan Norihan Tari, 39, parah dan masih dirawat. – Malaysiapost

