Puteri Umno persoalkan syarat pengeluaran i-Sinar KWSP

0
1

Nurul Huda Abhar

KEGEMBIRAAN selepas penggulungan Bajet 2021 tidak lama, ujar Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan.

Ini kerana, beliau menyatakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih mengekalkan syarat-syarat untuk pengeluaran simpanan Akaun 1 secara ‘one-off’ maksimum RM10,000.

“i Sinar, i Malap, i Marah, i Kecewa?

“Masih dengan syarat-syarat, yang akhirnya menyusahkan pencarum bukan memudahkan..,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, hari ini.

Zahida berkata, rakyat mendambakan pengeluaran wang Akaun 1 KWSP tanpa syarat yang rumit.

Beliau juga mempersoalkan tindakan KWSP yang tidak memudahkan urusan pencarum menyeluarkan wang simpanan ketika ramai yang terhimpit tatkala penularan Covid-19.

“I-Sinar terbuka kepada semua pencarum untuk keluarkan simpanan akaun 1 secara ‘one off’ dengan pengeluaran maksimum RM10,000.

“Maaf, itu bukan kenyataan daripada KWSP, tetapi itulah yang rakyat harapkan.

“Kenapa KWSP tak mahu permudahkan urusan pencarum keluarkan simpanan sendiri?,” ujarnya lagi.

Terdahulu, KWSP hari ini mengumumkan kriteria dan butiran kemudahan i-Sinar yang kini dibuka kepada sehingga 8 juta ahli yang layak.

Kategori satu adalah mereka yang layak termasuk ahli yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Kategori dua pula adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas Mac lalu, yang mana pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here