Nurul Huda Abhar
SATU laporan polis dibuat oleh Pertubuhan Kebajikan Komuniti Jahut Pahang (PKKJP) terhadap tiga individu termasuk seorang personaliti televisyen mengenai kenyataan yang berbaur penghinaan dan memperlekehkan peranan anggota Unit Senoi Praq, Pasukan Gerakan Am (PGA)
Setiausahanya, Koi Bin Ting berkata, ketiga-tiga individu itu dengan sengaja mengeluarkan kenyataan melampau dan merendah-rendahkan pengorbanan anggota Senoi Praq yang juga merupakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kenyataan mereka ini juga jelas berniat menjatuhkan maruah dan mempersendakan Sarjan Baharudin Ramli yang gugur di perbatasan serta menguris hati keluarga mendiang dan Sarjan Norihan Tari yang kini masih dalam rawatan serta tidak menghormati keanggotaan Orang Asli dalam PDRM, sensitiviti Orang Asli amnya.
“Laporan ini juga dibuat atas pelangaran prinsip kelima Rukun Negara iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ serta mahu semua pihak menghormati anggota PDRM. Tak kira laut, darat dan udara, yang berjuang menjaga ke amanan dan kesejahteraan negara di bawah panji naungan Yang di-Pertuan Agong.
“Pertubuhan ini tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang sengaja mencetuskan api perbalahan, membuat provokasi dan mengundang tidak keselesaan antara kaum di negara ini dan meminta pihak berkuasa membuat tindakan setegasnya ke atas mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, pengacara Maria Tengku Sabri menerusi laman Instagram (IG) dikecam apabila menamakan menu masakan ‘Menu Siakap 3 Rasa, Mati Tertembak Di Sempadan’.
Tindakannya itu mengundang perasaan tidak puas hati dalam kalangan pengikutnya yang menyifatkan personaliti televisyen itu tidak sensitif terhadap keluarga mangsa yang terkesan akibat kejadian tembakan yang berlaku di sempadan.
Dalam insiden pada 2.30 pagi itu, mendiang Baharuddin dan Norihan berdepan kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis.
Baharuddin terbunuh, manakala Norihan mengalami kecederaan parah. Kedua-dua mereka adalah anggota Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA yang terlibat dalam Op Benteng. – Malaysiapost

