Kerajaan cari jalan bantu Zoo Negara

0
1

KERAJAAN sedang mencari jalan penyelesaian terbaik bagi membantu Zoo Negara menghadapi krisis kewangan meruncing akibat pandemik wabak Covid-19 ketika ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan tidak lepas tangan dan menyokong pelbagai usaha Zoo Negara untuk mengatasi masalah ini susulan tidak dibenarkan beroperasi kerana perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saya akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan Zoo Negara pada Khamis ini untuk membincangkan mekanisme pengukuhan operasi Zoo Negara khususnya dalam aspek tadbir urus supaya lebih berdaya maju dan pada masa yang sama memastikan kebajikan hidupan liar sentiasa terpelihara.

“Kementerian Tenaga dan Sumber Asli juga tidak pernah ketinggalan dalam membantu Zoo Negara walaupun ia dimiliki oleh NGO dan beroperasi sebagai entiti perniagaan. Zoo Negara diberikan permit pengendalian zoo secara tahunan oleh Jabatan Perhilitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Shamsul, kerajaan telah menyalurkan bantuan kepada Zoo Negara melalui Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar sebanyak RM1.3 juta10 April 2020 lalu untuk menampung keperluan bekalan makanan hidupan liar, pengurusan husbandri dan ubat.

Malah, Shamsul berkata, diskaun 15 peratus bil elektrik secara bulanan selama enam bulan juga telah diberikan kepada Zoo Negara di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0).

Dalam pada itu, Shamsul juga menjelaskan, kerajaan sedang memperhalusi desakan orang ramai supaya kerajaan memulangkan semula ‘Giant Panda’ ke negara asalnya.

Katanya, sebarang keputusan untuk memulangkan semula panda ini mestilah mengambil kira ikatan perjanjian yang telah ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan China pada tahun 2014.

“Perjanjian Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan China melalui China Wildlife Conservation Association (CWCA) dimeterai untuk tempoh 10 tahun bermula pada tahun 2014.

“Persetujuan Kerajaan China meminjamkan pasangan ‘Giant Panda’ kepada Malaysia membuktikan hubungan istimewa yang terjalin di antara kedua dua negara sejak hubungan diplomatik diwujudkan pada tahun 1974,” katanya.

Pasangan ‘Giant Panda’ itu telah melahirkan dua anak iaitu Nuan Nuan pada tahun 2015 dan Yi Yi pada tahun 2018.

Setiap anak Giant Panda perlu dihantar pulang ke China apabila usia mencecah 24 bulan dan tidak melebihi usia emoat tahun.

“Nuan Nuan telah dihantar pulang ke China pada tahun 2017.

” Yi Yi pula berusia genap 2 tahun pada 14 Januari 2020 dan sepatutnya dihantar pulang ke RRC pada April 2020 tetapi terpaksa ditangguhkan sehingga kini kerana pusat konservasi di RRC masih ditutup berikutan pandemik Covid-19.

“Kementerian akan melaksanakan penghantaran pulang Yi Yi secepat mungkin selepas tarikh dipersetujui oleh Kerajaan China nanti,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here