PELAKON Ellen Page mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan kini dia bergelar transgender selepas menukar jantina kepada lelaki.
Aktres berasal dari Kanada itu membuat pengumuman menerusi laman Instagram (IG) yang menyatakan kini umum boleh memanggilnya sebagai “Elliot”.
“Hai semua, saya ingin memaklumkan kepada anda bahawa saya adalah seorang transgender. Nama saya kini adalah Elliot.
“Saya bangga untuk berkongsi perkara ini. Saya tak sangka mampu sampai ke tahap ini dalam hidup saya,” kata pelakon filem Inception itu.
Pelakon berusia 33 tahun itu kelihatan terbuka untuk berkongsi secara umum pengalamannya menjadi transgender.
Malah, dia bersyukur dengan keputusan yang dibuat mendapat sokongan daripada komuniti berkenaan.
“Saya bahagia dengan pilihan yang dibuat tetapi dalam masa sama berasa takut dengan tindakan agresif, kebencian, kutukan atau kekerasan.
“Jadi cukup-cukuplah anda melukai orang lain. Saya salah seorang daripada mereka (komuniti transgender) dan kami tidak akan diam menghadapi serangan anda,” katanya.
Ellen sebelum ini memegang watak utama filem Juno (2007) dan telah menerima pencalonan aktres terbaik untuk Anugerah Akademi, BAFTA, Golden Globe dan Anugerah Screen Actors Guild.
Selain itu, pernah memenangi beberapa anugerah lain termasuk Anugerah Independent Spirit, Anugerah Filem MTV dan Anugerah Teen Choice untuk Aktres Terbaik dalam Komedi. – Malaysiapost

