[PARLIMEN] SARINGAN Covid-19 adalah antara jenis perlindungan dan bantuan yang diberikan kerajaan kepada warga emas yang muncul sebagai golongan berisiko tinggi penularan wabak itu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata garis panduan pencegahan dan kawalan penyakit Covid-19 turut diwujudkan bagi tujuan sama.
“Saringan Covid -19 dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) kepada semua penghuni dan kakitangan di 17 institut kebajikan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) bertujuan mencegah penularan di institusi warga emas.
“Ia juga diperluas kepada 432 pusat jagaan dikendalikan pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), membabitkan seramai 14,049 penghuni dan kakitangan telah disaring.
“Pewujudan garis panduan pencegahan dan kawalan penyakit Covid-19 di pusat jagaan warga emas kerajaan, swasta dan NGO, pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai rujukan dan panduan pusat ini dalam menghadapi situasi pandemik,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan June Leow Hsiad Hui (PH-Hulu Selangor) mengenai jenis perlindungan dan bantuan disediakan bagi golongan warga emas.
Sementara itu, Siti Zailah berkata, Sambutan Hari Warga Emas 2020 juga diraikan dalam suasana pandemik
Covid-19 dan mengetengahkan beberapa program dan aktiviti.
Katanya, ia membabitkan forum berkaitan kesediaan warga emas terhadap norma baharu semasa pandemik Covid -19, impak dan penjagaan kesihatan dari segi fizikal, emosi dan mental.
“Program Bantuan Prihatin kepada 131 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan telah memberi manfaat kepada hampir 44,000 warga emas berdaftar.
“Selain itu, Talian Kasih 15999 dan Talian Khas Kaunseling Covid-19 bagi memberi sokongan psikologi kepada orang ramai termasuk warga emas yang terkesan akibat penularan wabak dan PKP.
“Perkhidmatan telekaunseling 24 jam adalah antara inisiatif kerajaan bagi memastikan kesihatan mental rakyat Malaysia sentiasa berada di tahap stabil,” katanya. -Malaysiapost

