ZOO Negara memohon kerajaan membenarkan ikon riadah itu dibuka walaupun kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disambung.
Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @Rahmat Ahmat Lana berkata wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan datang bermesyuarat esok untuk membincangkan mengenai permintaan Zoo Negara yang mahu beroperasi sepanjang PKPB.
“Wakil MKN akan bermesyuarat dengan kita esok dan kita buat rayuan kalau boleh zoo dibuka walaupun PKPB.
“Kita minta sebab SOP (prosedur operasi standard) semua dah lengkap dan mampu mengamalkan penjarakan fizikal berikutan zoo ini berkeluasan 21 hektar.
“Selain itu, kami akan mengehadkan kemasukan 1,500 pelawat sehari secara berperingkat dan bukan sekaligus,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Menurutnya, pihaknya yakin SOP dan penjarakan fizikal boleh diamalkan memandangkan Zoo Melaka juga dibuka kepada orang ramai.
“Kita mampu jaga SOP dan sudah buat rayuan kepada MKN tetapi belum diluluskan lagi, ini saja jalan bagi mengurangkan beban kewangan kami,” katanya.
Selain itu, Rosly menjelaskan, Dana Prihatin Kebajikan Hidupan liar berjumlah RM1.3 juta diberikan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah dibelanjakan keseluruhannya untuk makanan haiwan dan pengurusan zoo.
“Keseluruhan perbelanjaan dana ini telah diperincikan dalam laporan audit yang diserahkan kepada Perhilitan pada Julai lalu.
“Setiap perbelanjaan kita perincikan dan sudah audit, kebanyakannya kita memang guna khas untuk makanan haiwan.
“Perbelanjaan bulanan yang ditanggung Zoo Negara setiap bulan merangkumi makanan haiwan RM350,000, elektrik RM140,000 dan air RM40,000, ini tidak termasuk gaji dan elaun 140 kakitangan kami,” katanya.
Bagaimanapun, pihaknya yakin dapat berdiri semula dan berdikari daripada mengharapkan bantuan sebaik Zoo Negara dibuka kepada orang ramai.
“Sudah 57 tahun kita berdikari, tetapi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang di luar jangkaan menyebabkan kita tidak mempunyai pendapatan langsung,” katanya.
Ditanya terdapat cadangan yang mahu haiwan itu dilepaskan ke beberapa habitat sementara dan dipasangkan alat pengesan lokasi (GPS) supaya dapat mencari makanan, Rosly berkata, perkara itu adalah mustahil untuk dilakukan.
“Kebanyakan haiwan kami bukan berasal dari Malaysia, adalah mustahil untuk mereka menyesuaikan diri dalam hutan kita.
“Contohnya Hippopotamus (badak air) kita mahu lepaskan ke mana, sungai kita ke? Begitu juga dengan zirafah dan kangaru.
“Selain itu, harimau dan singa kita juga sudah dilatih dalam kurungan dan tidak akan mampu memburu di luar sana, kemungkinan mereka akan dicederakan oleh hidupan liar lain sangat tinggi,” katanya.
Sebelum ini, Zoo Negara memaklumkan hanya mampu bertahan tiga bulan lagi berikutan kekangan kewangan berikutan PKP.
Selain kos operasi membabitkan 140 kakitangan, Zoo Negara memerlukan kos besar bagi memberi makanan kepada kira-kira 4,000 haiwan yang menghuni ikon riadah itu. -Malaysiapost

