Nurul Huda Abhar
TAN Sri Muhyiddin Yassin mengakui ada membuat pertemuan bersama kepimpinan tertinggi Umno dan PAS dalam usaha mengukuhkan hubungan kerjasama antara parti-parti tersebut dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau yang juga Presiden Bersatu menerusi hantaran di laman Facebook berkongsi gambar pertemuannya bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, semalam.
“Semalam saya mengadakan pertemuan dengan YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan YB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO.
“Kami berbincang mengenai usaha-usaha untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama antara Bersatu, PAS dan Umno,” tulisnya hari ini.
Rata-rata komen di hantaran tersebut banyak menyentuh mengenai penyatuan antara PN dan Muafakat Nasional (MN) yang semakin menjadi perbincangan kini.
Perdana Menteri dalam kenyataan sebelum ini menyatakan krisis politik yang berlaku sejak kebelakangan ini telah menyatukan Umno dan Bersatu daripada seteru menjadi sekutu, sekali gus berada dalam satu saf politik yang sama.
Beliau menerusi ucapan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu berkata walaupun wujud pihak yang kurang selesa dengan keadaan itu dan melihat seolah-olah Umno berada dalam keadaan terpaksa untuk bekerjasama, perkara berkenaan harus dlihat sebagai ujian untuk pemimpin Melayu Islam di negara ini dalam memperkukuh hubungan termasuk dengan parti PAS.
“Di hadapan kita terbentang luas peluang untuk kita menyatukan umat Melayu dan Islam di negara ini yang telah mengalami perpecahan politik sejak sekian lama.
“Sedarlah, krisis politik yang berlaku di negara kita pada awal tahun ini telah mempertautkan pimpinan politik Melayu dalam Bersatu, UMNO dan PAS dalam satu saf politik yang sama,” katanya.
Tambahnya, pertautan itu adalah satu langkah awal untuk mewujudkan penyatuan ummah yang lebih besar. – Malaysiapost

