Pengundi Gombak saman Azmin

0
1

SEKUMPULAN pengundi di Gombak memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali minggu lalu.

Saman itu dikemukakan atas dakwaan menteri kanan itu menipu dan melanggar kewajipan fidusiari, sembilan bulan selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi Langkah Sheraton, Februari lalu.

Seramai 10 plaintif mahu suatu pengisytiharan bahawa Azmin, selaku Ahli Parlimen, mempunyai tugas fidusiari dan/atau pemegang amanah dalam hubungannya dengan pengundi, lapor FMT hari ini.

Dalam saman yang difailkan Tetuan Yohendra Nadaraja di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, plaintif juga mahu suatu pengisytiharan bahawa Azmin sudah melakukan tort penipuan terhadap mereka.

Plaintif juga menuntut ganti rugi dan perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, Azmin ketika mencalonkan diri pada Pilihan Raya Umum 2018 membuat pernyataan untuk menggulingkan Barisan Nasional (BN) ketika itu dan membebaskan Malaysia daripada pemimpin yang korup.

Mereka juga menyatakan Azmin menyebabkan kejatuhan PH pada Februari lalu apabila bergabung dengan Perikatan Nasional (PN), yang termasuk BN, iaitu individu yang Azmin sendiri telah mengakui “dituduh dipercayai melakukan amalan rasuah”.

Plaintif menyatakan bekas Timbalan Presiden PKR itu telah berjanji untuk mematuhi manifesto pilihan raya PH 2018, antara lain menyelesaikan salah laku BN yang ketika itu adalah kerajaan Persekutuan.

Mereka juga menyatakan bahawa Azmin mengumumkan di laman Facebooknya pada 27 April 2018 bahawa pilihan raya umum ke-14 penting agar rakyat mendapat kepemimpinan yang bertanggungjawab.

Dalam salah satu kempennya, mereka mengatakan Azmin memberitahu pengundi bahawa mereka harus memilih PKR untuk memastikan pemerintahan yang kompeten dan stabil.

“Dia juga mengatakan bahawa musuhnya adalah mereka yang menyokong Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, Umno dan BN. Dia melabel penyokong seperti itu adalah pengkhianat,” kata mereka.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Azmin yang juga penyandang kerusi Gombak berjaya mengekalkan kemenangan dengan majoriti 25,512 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here