JIKA bank mampu beri moratorium pinjaman enam bulan secara pukal tahun ini dan kekal untung, kenapa tidak boleh dilanjutkan lagi, soal Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Perdana Menteri itu, berkata Menteri Kewangan sebelum ini memaklumkan jumlah “kerugian” bagi semua bank Malaysia sebab memberi moratorium pinjaman enam bulan adalah RM6.4 bilion.
“Tapi Menteri Kewangan juga kata dana sebanyak RM85.8 bilion (RM30 bilion bagi sektor perniagaan, RM55.8 bilion peminjam individu) telah disuntik ke dalam ekonomi tempatan dari April hingga September 2020 akibat moratorium ini.
“Jadi, apakah “kerugian” RM6.4 bilion ini jika sebanyak RM85.8 bilion disuntik ke dalam ekonomi tempatan untuk rancakkan ekonomi dan selamatkan ratusan ribu pekerjaan?,” katanya di Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, jumlah terkumpul keuntungan bersih semua bank-bank dalam negara pada tahun 2019 sahaja mencecah RM32 bilion.
“Tambahan pula, mana ada bank rugi sepanjang enam bulan moratorium pinjaman automatik secara pukal diberi?.” katanya.
Beliau berkata, RM6.4 bilion yang disebut Menteri Kewangan itu bukan kerugian tetapi mungkin penurunan keuntungan sahaja.
“Ini benda simple, keuntungan bank turun RM6.4 bilion tapi suntikan dana dalam ekonomi ialah RM58.8 bilion.
“Demi rakyat, suruhlah bank-bank tanggung penurunan keuntungan RM6.4 bilion ini setelah untung begitu banyak sepanjang tempoh sembilan tahun saya (jadi) PM,” katanya.
Najib berkata, Menteri Kewangan juga boleh pertimbangkan untuk memberi sedikit pelepasan cukai bagi bank untuk pengorbanan mereka.
” Akhirnya, bank perlu ikhlas pada peminjam.
“Rakyat tak minta bank hapuskan pinjaman atau cetak duit untuk beri secara percuma seperti disaran seorang hari itu tapi untuk tangguh ansuran sahaja,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu akhirnya membolehkan pinjaman dibayar apabila peminjam lebih senang.
“Jadi, jangan diberi tangguhan ansuran enam bulan tapi disambung tempoh pinjaman sebanyak dua tahun atau empat tahun lagi.
“Harap tidak berlaku tapi saya dah baca dan dengar banyak rayuan Rakyat sebegitu.
“Jika benar, masih ada masa untuk perbetulkan demi rakyat yang juga ‘customer’ setia kamu sejak bertahun-tahun dulu lagi,” katanya. -Malaysiapost

