Nurul Huda Abhar
JIKA dulu menghantar pesakit daripada golongan susah secara percuma ke hospital, kini urus jenazah pesakit Covid-19 pula.
Itu khidmat ditawarkan aktivis masyarakat, Yunizam Yusop, 32, bersama rakan-rakannya kepada penduduk di tempat kelahirannya di Sandakan, antara daerah paling teruk terjejas Covid-19 di Sabah sejak awal bulan lalu.
Yunizam atau dikenali dengan panggilan Abam Botak berkata, sejak 4 Oktober lalu lebih 50 jenazah pesakit Covid-19 beragama Islam telah beliau uruskan bersama rakan-rakan sukarelawan lain.
Biarpun telah berkecimpung selama dua tahun dalam menyediakan perkhidmatan van jenazah percuma serta menghantar pesakit ke hospital, namun dia mengakui pengurusan jenazah pesakit Covid-19 ternyata berbeza.

Katanya, menguruskan jenazah pesakit wabak itu memerlukan mereka lebih berwaspada dan berhati-hati kerana jika tersilap langkah, risiko jangkitan amat besar.
“Setakat ini Alhamdulillah belum ada lagi antara kami dijangkiti Covid-19 semasa menguruskan jenazah pesakit yang dijangkiti.
“Pakaian pelindung diri (PPE) ada yang dibeli sendiri, jika stok tidak ada, kita guna hospital punya. Ada juga insan yang beri sumbangan, iaitu orang yang kita tidak kenali hantarkan ke alamat kami di Sandakan,” ceritanya kepada Malaysiapost.
Yunizam berkata, cara pengurusan jenazah pesakit Covid-19 juga berbeza kerana hanya dikafankan, tayamum dan solat jenazah, malah perjalanan van jenazah sehingga ke tanah perkuburan dipantau oleh polis.
“Polis iringi kami ke tanah perkuburan dan setelah selesai urusan pengebumian, kami akan balik ke Unit Forensik hospital untuk disanitasi semula,” katanya.
Tambah beliau, semua perkhidmatan yang disediakan adalah percuma dan waris hanya diminta menyediakah tanah perkuburan.
“Dari segi pengurusan awal jenazah, pengangkutan, imam, tahlil kita akan sediakan,” katanya yang kerap memuatnaik video pengurusan jenazah di Facebook.

Beliau memberitahu, seramai lapan hingga 10 orang diperlukan untuk menguruskan jenazah dalam satu-satu masa.
Katanya, jika kawasan tanah perkuburan tersebut berdekatan maka hanya lapan orang diperlukan untuk urusan pengebumian, manakala jika kawasan itu berbukit memerlukan 10 sukarelawan untuk memudahkan urusan mengangkat jenazah.
Yunizam juga mengakui beliau sendiri rasa sayu dan mahu menangis apabila waris merayu untuk melihat jenazah ahli keluarga yang meninggal dunia akibat Covid-19, berikutan prosedur operasi standard (SOP) tidak membenarkan berbuat demikian.
Berikutan itu katanya, ada waris dan ahli keluarga jenazah menghubungi memintanya mengambil sedikit rakaman video dan gambar semasa pengebumian untuk tatapan kali terakhir.

Memahami situasi dilalui waris yang tidak dapat turut-serta menguruskan jenazah, beliau bersetuju untuk merakam video dan mengambil beberapa keping gambar untuk simpanan ahli keluarga.
“Itu sahaja yang termampu kami buat, kita akan urus jenazah itu seperti macam mana kita urus jenazah keluarga kita.
“Kita akan tunaikan permintaan waris dan dalam masa sama kita minta persetujuan Kementerian Kesihatan (KKM) dan polis untuk rakam video semasa urusan pengebumian,” katanya.
Yunizam dan rakan-rakannya bergiat aktif menerusi perkhidmatan van jenazah percuma dan menghantar pesakit dari golongan kurang mampu ke hospital sejak lebih dua tahun lalu, selain memberi makan kepada gelandangan. – Malaysiapost
Foto: FB Abam Botak


