Ismail Sabri harap Alif Satar cepat sembuh

0
1

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan kata-kata semangat kepada penyanyi, Alif Satar yang kini menerima rawatan selepas disahkan positif Covid-19

Perkara tersebut dikongsi oleh menantu beliau yang juga seorang pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie di laman Instagram semalam.

“Ini untuk awak brother @alifsatar. Saya harap gambar ini menceriakan hari awak serta saya mendoakan awak dan keluarga terus dilindungi.

“Semoga awak cepat sembuh dan dapat kembali di pangkuan keluarga. Atok mail @ismailsabri cakap terima kasih dan cepat sembuh Alif,” tulis Jovian.

Dalam perkongsian itu, dilihat Ismail Sabri yang juga bapa kepada penyanyi, Dafi turut bergambar bersama cucunya, di samping sejadah boleh sandar pemberian Alif untuk digunakan semasa solat.

Dalam masa sama, pelakon siri ‘Derita Pia’ itu meninggalkan komen pada hantaran tersebut dengan mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan dan kata-kata semangat diterimanya.

“Ameen, alhamdulillah terima kasih untuk ini brother. Harap Tok Mail suka sejadah tersebut,” tulis Alif yang kini menjalani rawatan dan kuarantin di Hospital Melaka.

Alif disahkan positif Covid-19 pada 22 November lalu.

Selain Alif, ibu bapanya, Hafiza dan Satar Ramli, adiknya Jim Satar dan datuknya Mohammad Che Noh, 91, juga disahkan positif pada awal minggu ini.

Isterinya, Sha Dila Hadid dan anak-anak Alif iaitu Alisha Anugerah, 5, Ariana Mecca, 3, dan Muhammad Ali, 1, bebas dari jangkitan virus tersebut.

Semalam, media melaporkan datuk Alif yang digelar Pak Wan disahkan sihat dan dibenarkan pulang ke rumah selepas dirawat di Hospital Sungai Buloh baru-baru ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here