
Muhammad Mustakim Ramli
PIMPINAN akar umbi parti Amanah menolak tindakan keputusan unilateral susulan insiden ketika bacaan kedua Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, baru- baru ini.
Menerusi kenyataan 55 pimpinan akar umbi seluruh negara itu, mereka berkata tindakan keputusan unilateral dan luar mesyuarat jelas menunjukkan tiada hormat kepada keputusan musyawarah dan majoriti yang telah dipersetujui.
“Tindakan ini telah mencalarkan reputasi Pakatan Harapan (PH) selaku kerajaan yang diundi oleh rakyat pada PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14).
“Kami juga ingin menegaskan pimpinan Amanah serta PH wajib berpegang kepada prinsip serta disiplin berorganisasi dan keputusan mesyuarat,” kata kenyataan itu.
Pimpinan akar umbi Amanah juga memuji tindakan dan sikap yang diambil oleh Timbalan Presiden, Salahuddin Ayub yang memohon maaf atas rasa bertanggungjawab sebagai seorang pemimpin.
“Ia adalah sikap kepimpinan yang perlu menjadi teras dalam PH dan kami bersolidariti atas tindakan beliau mempertaruhkan jawatan Timbalan Presiden atas dasar tanggungjawab dan integriti.
“Seluruh ahli wajar mendukung aspirasi Presiden Amanah yang mahukan agar semua kita memperkukuhkan kerjasama dan dalam masa yang sama tidak memusuhi rakan pembangkang yang lain,” katanya.
Selain itu, pimpinan akar umbi Amanah juga mendesak agar hala tuju yang jelas dan tegas mesti diputuskan dengan segera untuk mengembalikan mandat rakyat dengan menolak kleptokrat dan menafikan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional.
Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) di peringkat dasar melalui undian suara, selepas sebahagian besar Ahli Parlimen termasuk pembangkang tidak menyokong cadangan undi belah bahagi.
Hanya 13 Ahli Parlimen yang bangun menyokong cadangan Datuk Mahfuz Omar untuk undi belah bahagi diadakan berbanding syarat minimum 15 Ahli Parlimen untuk menyokong cadangan itu.
Susulan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikritik beberapa pihak termasuk sekutunya dari DAP yang berang arahan yang dikeluarkan Presiden PKR itu yang mengarahkan Ahli Parlimen daripada pembangkang untuk tidak melakukan pengundian belah bahagi ketika bacaan kedua Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.
Terdapat desakan termasuk kata dua kepada pemimpin DAP supaya memutuskan hubungan dengan PKR dan membubarkan PH sekiranya Ketua Pembangkang itu masih menganggap keputusannya adalah tepat. -Malaysiapost
