Hala serangan kepada PN, bukan saling serang menyerang – Pemuda Amanah

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

PEMUDA Parti Amanah Nasional memohon parti pembangkang menghentikan serang menyerang, sebaliknya mengukuhkan kesatuan pembangkang.

Naib Ketua Pemudanya, Kevin Shawn Gomez, berkata serangan seharusnya dihalakan kepada Perikatan Nasional (PN) yang telah gagal menjaga kebajikan rakyat khususnya sewaktu negara berhadapan dengan pandemik Covid-19. 

“Ribuan anak muda hilang pekerjaan, hilang punca pendapatan, perniagaan terpaksa ditutup dan pelbagai dampak negatif kesan pandemik tidak mampu ditangani oleh kerajaan PN.

“PN hanya mampu beretorik dan memberikan idea-idea dangkal dalam menyelesai masalah rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kevin juga menyeru Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), UPKO dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk bersama-sama meningkatkan persefahaman.

“Rakyat meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat pembangkang mempunyai persefahaman dan kesatuan yang kukuh dalam mengembalikan mandat rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata dalam konflik yang berlaku samada dalaman mahupun luaran PH, Amanah sentiasa mengambil sikap memupuk kesatuan dalam PH dan menyelesaikan segalanya di meja rundingan.

“Sepertimana dinyatakan oleh Presiden, Amanah sentiasa mencari titik persamaan dan melupakan perbezaan silam.

“Justeru Pemuda Amanah Nasional menggesa para pimpinan dan penyokong parti Amanah dan rakan-rakan dalam PH disemua peringkat untuk berhenti daripada saling menyerang.

“Serangan antara satu sama lain tidak memberikan keuntungan kepada PH, sebaliknya hanya mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Terdahulu, beberapa pimpinan DAP dan PKR saling berbalas kenyataan susulan Pesiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Ahli Parlimen daripada PKR dan DAP untuk tidak melakukan pengundian belah bahagi ketika bacaan kedua Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Terdapat desakan termasuk kata dua kepada pemimpin DAP supaya memutuskan hubungan dengan PKR dan membubarkan PH sekiranya Ketua Pembangkang itu masih menganggap keputusannya adalah tepat. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here