HUBUNGAN dalam Pakatan Harapan (PH) khususnya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah hubungan lama yang perlu dipertahankan.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah),
Mohamad Sabu, berkata hubungan yang terjalin sejak 20 tahun lalu itu telah mengharungi susah payah bersama dalam perjuangan.
“Ianya mesti dipertahankan, di sebalik semua pihak mempunyai kelemahan masing masing yang boleh diperbaiki.
“Dalam kerjasama ini, setiap orang ada kelebihan dan kelemahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Mohamad berkata, apabila sudah bergabung amat sukar untuk berpisah. disebabkan perhubungan yang lama dan kesamaan titik perjuangan.
Mat Sabu berkata, begitu jugalah di dalam Pakatan Harapan yang menggabungkan tiga parti iaitu Amanah, DAP dan PKR.
“Yang lebih utama bagi kita adalah kesatuan dan persahabatan. Dalam masa yang sama kita sentiasa mencari jalan memperbanyakkan kawan dan mengurangkan lawan. Inilah sikap saya,” katanya.
Semalam, Setiausaha Pemuda DAP, Teh Hoong Keat mendesak Anwar bertanggungjawab dan minta maaf kepada penyokong Pakatan Harapan (PH) susulan arahan tidak melakukan pengundian belah bahagi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, kelmarin.
Hoong Keat memberi kata dua kepada pemimpin pusat parti itu supaya memutuskan hubungan dengan PKR dan membubarkan PH sekiranya Ketua Pembangkang itu masih menganggap keputusannya adalah tepat.
Sementara itu, menyingkap sejarah perjuangan politiknya, Mat Sabu berkata, beliau sentiasa mengukuh kerjasama dalam gabungan yang disertainya.
“Ketika berlawan dengan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad, kita lawan bersungguh sungguh sehingga ditahan ISA sebanyak dua kali 1984-1986 dan 1987-1989.
“Pelbagai kata dan hentaman telah saya tujukan kepada Tun Mahathir dalam ucapan ucapan ketika melawan BN dan Tun Mahathir ketika itu,” katanya.
Beliau berkata, namun apabila Dr Mahathir menubuhkan Gerakan Selamatkan Malaysia dan seterusnya menubuhkan Parti Bersatu untuk melawan kerajaan BN pimpinan Najib Razak pihaknya sedia bekerjasama.
“Kita menghulurkan tangan untuk bekerjasama, maka kita terus bekerjasama dan bergabung di bawah Pakatan Harapan.
“Kerja keras yang kita lakukan telah berjaya di dalam pilihanraya yang lalu dan mengambil alih kerajaan pada Mei 2018,” katanya.
Mat Sabu berkata, hal yang sama berlaku dalam perhubungan dengan Tun Dr Mahathir.
“Apabila ada suara menasihatkan saya untuk meninggalkan Tun Dr Mahathir dan menghentam beliau, saya katakan tidak.
“Kita telah bekerjasama dengan beliau, sama sama sepentas melawan kerajaan Kleptokrat yang sangat berkuasa, mengenali di antara satu sama lain, masakan saya hendak memaki hamun beliau,” katanya. -Malaysiapost

