PEKARANGAN Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kulim, Kedah yang menempatkan khemah saringan kecemasan dan saringan Covid-19 dilanda banjir kilat akibat hujan lebat lebih dua jam pada petang ini.
Kejadian kira-kira 5 petang itu berlaku selepas air dari longkang di kawasan letak kereta yang berada pada paras lebih tinggi melimpah.
Ketika kejadian beberapa pesakit berada di dalam khemah dengan kawasan tersebut digenangi air.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, kawasan khemah tersebut dinaiki air yang melimpah dari kawasan letak kereta bersebelahan.
“Air melimpah dari tempat letak kereta di sebelah atas kerana longkang yang kecil. Bila hujan lebat, air melimpah turun ke kawasan khemah sementara.
“Banjir kilat berlaku sekejap sahaja dan surut kurang sejam,” katanya seperti dilaporkan Kosmo Online, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah Dr Mohd Fikri Ujang berkata, kawasan tersebut telah dibersihkan dan bersedia untuk menerima pesakit.
“Tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu,” tambahnya.
Selain itu, beberapa kawasan lain di situ turut dilanda banjir kilat termasuk Mukim Padang Cina, Mukim Karangan dan Mukim Kulim. – Malaysiapost
Foto: Ihsan Facebook

