Kerajaan batal jaminan pinjaman bank LRT Pulau Pinang.

0
2

KERAJAAN Persekutuan memutuskan untuk membatalkan pinjaman RM2.4 bilion dengan sebuah bank serantau, yang perlu dijaminnya bagi membiayai projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang.

Sekiranya perkara itu diteruskan, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan akan menanggung beban fiskal yang akan mempengaruhi usaha untuk memulihkan ekonomi yang terkesan kerana pandemik Covid-19.

Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan ketika itu, telah menerima surat dari Bank Pembangunan Asia (ADB) bertarikh 25 Januari 2019, yang memberitahu niat Pulau Pinang untuk mengambil pinjaman untuk projek LRT bernilai RM9.5 bilion.

“Sebarang pinjaman baru dengan jaminan kerajaan perlu diteliti sebaik mungkin kerana ia akan meningkatkan contingent liability kerajaan.

“Peningkatan contingent liability yang tidak dikawal boleh meningkatkan risiko fiskal dan menjejaskan penarafan kredit Malaysia oleh agensi penarafan antarabangsa,” katanya.

Justeru, katanya, wajar untuk kerajaan mengehadkan pendedahan jaminan kerajaan berdasarkan keutamaan dan keupayaan bayaran balik hutang.

Tengku Zafrul dilaporkan berkata demikian dalam jawapan Parlimen kepada Ahli Parlimen Tanjong Chow Kon Yeow, yang juga ketua menteri Pulau Pinang, baru baru ini.

Tambah Zafrul, keputusan itu dilakukan selepas mengambil kira projek di luar belanjawan yang turut ditanggung kerajaan seperti MRT1 dan 2, LRT3, Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Zafrul berkata, setakat 30 Sept, jumlah keseluruhan jaminan kerajaan adalah RM289.8 bilion. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here