ADAKAH anda mengetahui terdapat sebuah binaan masjid tersergam indah dan paling hampir dengan kutub utara? Itu masjid Nurd Kamal.

Masjid istimewa ini terletak di bandar Norilsk dalam wilayah Siberia di Rusia.
Malah, masjid Nurd Kamal tercatat dalam ‘Guinnes Book of Records’ sebagai masjid yang terletak paling utara di bumi…. atau lebih senang untuk difahami masjid ini terletak di hujung dunia.
Hebat bukan?
Memetik X-Mastika, masjid ini yang mula dibuka pada tahun 1998 diasaskan oleh Mukhtad Bekmeyev, seorang Muslim daripada bangsa Tartar.

Untuk pengetahuan pembaca, masjid ini diberi nama Nurd Kamal adalah bersempena nama bapa Mukhtad.
Serba sedikit mengenai kisah wujudnya masjid ini, pada masa itu ada lebih kurang 40,000 orang yang beragama Islam di bandar tersebut, tapi mereka langsung tiada masjid.
Jadi, individu bernama Mukhtad ini mengambil inisiatif untuk membina sebuah masjid untuk kegunaan saudara-saudara Islam di sana.
Beliau mendapatkan khidmat arkitek tempatan dan dibantu dana daripada pelbagai pihak lain, termasuk seorang dermawan berbangsa Inggeris, Stephen Trantham yang banyak menyumbang kepada pembinaan masjid ni.
Apa yang menarik tentang seni bina masjid ini adalah ianya mengambil contoh bangunan klasik Turki dan mempunyai tiga tingkat.
Kini, masjid ini merupakan satu-satunya masjid yang wujud di Kutub Utara, dengan komuniti penganut Islam di kawasan tersebut berjumlah lebih kurang 210,000 orang.

Sebagai info tambahan, Rusia antara negara yang mempunyai penduduk beragama Islam yang paling ramai di Eropah. Islam sudah berkembang di benua ini sejak abad ketujuh Masihi.
Selain itu, masjid ini merupakan masjid paling sejuk di dunia dengan suhu mencecah -50 darjah celsius.
Masjid Nurd Kamal menerima lebih kurang 1,000 orang yang menunaikan bersolat berjemaah di masjid ini setiap hari.
Apa yang menarik adalah ibadah puasa di kawasan ini berbeza dengan kawasan lain kerana umat Islam di sini akan berpuasa selama 18 hingga 20 jam sehari.
Ini disebabkan faktor iklim dan bentuk muka bumi yang berbeza, lantas menjadikan ibadah puasa umat Islam di seluruh dunia berbeza mengikut kawasan. – Malaysiapost

