Amanah ibarat ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’ – Khalid Samad

0
1

Nurul Huda Abhar

PENGARAH Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad hari ini menjelaskan semua kepimpinan parti tersebut menolak Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, baru-baru ini.

Menurut beliau, perbezaannya adalah sama ada melakukan belah-bahagi atau tidak dan perbezaan itu hanya timbul pada saat terakhir hasil cadangan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Oleh itu boleh dirumuskan bahawa tidak wujud perbezaan atau perpecahan dalam kalangan pimpinan Amanah. Situasi yang mencabar ini boleh digambarkan melalui pepatah Melayu ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’ telah menghasilkan tindakan berbeza yang pada hakikatnya kedua-duanya betul.

“Kita tidak berpeluang untuk berbincang dan berbahas untuk menentukan mana satu di antara dua pilihan betul ini adalah yang lebih betul. Namun kita yakin kedua-dua kumpulan telah bertindak mengikut pertimbang mereka masing-masing dengan mengharapkan yang terbaik bagi Amanah dan PH,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, pihaknya memahami ramai kecewa dengan apa yang telah berlaku, namun akan menjadi lebih parah sekiranya ia menggugat kesatuan dan perpaduan dalam parti itu sendiri serta hubungan antara Amanah dan PH.

Menurut Khalid, beliau menyeru kepimpinan agar berdoa segala keputusan yang telah dan bakal dibuat akan menambah baik parti sambil mengukuhkan lagi kedudukan PH.

“Marilah kita merapatkan saf dan membaharui iltizam untuk membawa kemenangan dan kebaikan bagi Amanah dan PH.

“Apa yang berlaku pada 26 November tidak menjejaskan langsung komitmen kami untuk menolak kerajaan Perikatan Nasional bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tetap dianggap sebagai kerajaan pintu belakang yang tidak memiliki mandat sah dari rakyat,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) di peringkat dasar melalui undian suara, selepas sebahagian besar Ahli Parlimen termasuk pembangkang tidak menyokong cadangan undi belah bahagi.

Hanya 13 Ahli Parlimen yang bangun menyokong cadangan Datuk Mahfuz Omar untuk undi belah bahagi diadakan berbanding syarat minimum 15 Ahli Parlimen untuk menyokong cadangan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here