Kes gantung diri rekod jumlah tertinggi di KK

0
2

STATISTIK menunjukkan sebanyak 12 daripada 17 kes bunuh diri di Kota Kinabalu bagi tempoh 2019 hingga 2020 adalah dengan cara menggantung diri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata lima kes gantung diri direkodkan tahun lalu dan tujuh kes lagi tahun ini.

“Faktor kemurungan akibat bebanan hutang, masalah kewangan dan perceraian antara punca berlakunya kes bunuh diri.

“Ibu bapa yang bercerai juga menjadi pucna anak-anak mengalami tekanan hingga membawa kepada cubaan membunuh diri.

“Diabaikan ahli keluarga atau anak-anak terutama bagi warga tua turut menjadi salah satu punca kes terbabit kerana kehidupan mangsa tidak dipedulikan oleh keluarga,” katanya seperti dilaporkan Utusan Borneo.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada anggota Polis Sukarelawan Simpanan (PVR) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang terjejas pandemik Covid-19 semalam.

Habibi berkata, tindakan membunuh diri turut disebabkan gangguan mental dan halusinasi yang mengakibatkan mangsa sering bercakap sendiri.

Beliau berkata, tekanan perasaan berikutan tidak dapat menyelesaikan masalah peribadi seperti bebanan kerja, masalah percintaan dan kesihatan turut menjadi punca.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, kejadian cubaan bunuh diri membabitkan gadis yang terjun ke sungai kelmarin dikenal pasti bukan warganegara kerana tiada dokumen pengenalan diri.

Menurutnya, remaja yang juga anak sulung daripada tiga adik-beradik dipercayai mengalami tekanan akibat masalah peribadi ibu bapanya.

“Dia kini dalam keadaan stabil dan menjalani rawatan di hospital, manakala ibu bapanya turut dipanggil untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here