Nurul Huda Abhar
JUMLAH kes positif Covid-19 kembali mencecah empat angka apabila merekodkan 1,109 kes harian baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 61,861.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bilangan kes sembuh Covid-19 hari ini melebihi jumlah kes baharu iaitu sebanyak 1,148 kes.
Menurut beliau, ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya kini 50,204 kes iaitu 81.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Sabah hari ini masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu 441 (39.8 peratus), di mana 346 kes (78.5 peratus) adalah hasil saringan kluster-kluster dan kontak rapat kes positif Covis-19 yang giat dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti Selangor sebanyak 175 kes dan Negeri Sembilan 167 kes.
“Sebanyak 25 kes (2.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok (9), Penjara Sandakan (6), Bakti (4), Rumah Merah (4), dan Penjara Reman (2),” katanya ketika sidang media, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan dua kematian Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 350 kes iaitu 0.57 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka.” Ujarnya.
Tambahnya, sehingga kini terdapat 113 kes positif Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 41 memerlukan bantuan pernafasan. – Malaysiapost

