Bersatu bincang mansuh jawatan pengerusi parti

0
1
mysuara.net credit

PERHIMPUNAN Agung Tahunan Bersatu yang akan berlangsung secara maya esok antara lain dijangka membincangkan pemansuhan jawatan pengerusi parti itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, isu itu sudah dibincangkan di peringkat pucuk pimpinan parti.

“Mengenai pemansuhan jawatan pengerusi, perkara itu betul dan bukan ura-ura. Kita dah bincang pun dan saya berasa mendapat sokongan kebanyakan ahli untuk memantapkan pengurusan parti itu sendiri.

“Sebabnya kita tidak mahu ada dua kapten dalam satu kapal, jadi kita cuma mahu ada presiden,” katanya dalam satu rancangan temubual, hari ini.

Sementara itu, Redzuan berkata, pemansuhan jawatan itu akan memerlukan pindaan terhadap perlembagaan parti.

Buat pertama kali perhimpunan agung tahunan parti itu akan diadakan secara dalam talian dan Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi kenyataan berkata, persidangan akan disertai perwakilan dari seluruh negara yang berkumpul di pejabat badan perhubungan negeri serta hotel tertentu.

Jawatan Pengerusi Bersatu sebelum ini disandang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir digugurkan keahlian dari Bersatu berkuat kuasa Mei lalu.

Selain Dr Mahathir, turut dipecat ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah, Dr Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here