[PARLIMEN] DRAF pindaan terbaru Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang dikenali sebagai RUU355, akan dibincangkan di peringkat negeri pada awal tahun depan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.
Ahmad Marzuk (PAS-Pengkalan Chepa) berkata, perbincangan akan dipimpin oleh jawatankuasa teknikal undang-undang syarak dan syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), yang diamanah oleh Majlis Raja-raja untuk menyusun pindaan itu.
Katanya, pada 16 Ogos lalu kerajaan melakukan rombakan dan menyusun semula keanggotaan jawatankuasa teknikal dan barisan keanggotaan baru yang lebih mantap dan berwibawa dibentuk.
“Sejurus pelantikan tersebut, pada 2 hingga 6 September 2020, Jawatankuasa Teknikal mengadakan mesyuarat untuk membincangkan cadangan pindaan RUU355.
“Dalam perbincangan tersebut cadangan pindaan RUU355 diteliti dan dibahaskan dengan terperinci dari pelbagai aspek khususnya aspek perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS- Pasir Mas) mengenai perkembangan RUU355 di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Marzuk berkata pada 1 hingga 3 Oktober, mesyuarat khas jawatankuasa teknikal diadakan untuk menggubal RUU355 berdasarkan input daripada perbincangan sebelum ini.
“Hasilnya, jawatankuasa teknikal berjaya menggubal draf RUU355.
“Jawatankuasa teknikal merancang untuk membentangkan cadangan pindaan Akta 355 dan draf RUU355 yang digubal tersebut kepada negeri-negeri melalui Majlis Dialog Undang-Undang dan Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil yang dijadualkan pada awal 2021,” katanya. -Malaysiapost

