PH hentikan projek tembok sempadan – Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan Barisan Nasional (BM) terdahulu di bawah pimpinannya telah bersetuju membina tembok Malaysia – Thailand bagi mengukuhkan sempadan kedua-dua negara.

Beliau berkata, jika tembok itu dibina seperti rancangan asal, peristiwa tragis penyeludup menyerang dan membunuh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mungkin tidak berlaku.

Katanya, pembinaan tembok tersebut sudah pun dirancang, dirunding dan dipersetujui kerajaan BN dahulu dengan negara Thailand, malah Memorandum Persefahaman (MoU) sudah ditandatangani.

“Selepas itu, jawatankuasa-jawatankuasa dwi negara sudah banyak kali bermesyuarat dan memperhaluskan projek. Fasa pertama dah sedia dilancarkan pada Mac 2018 sebelum PRU14.

“Tapi masuk PH (Pakatan Harapan) pula, mereka hentikan projek dengan alasan kos pembinaan RM1 juta setiap kilometer terlalu mahal.

“PH kata kos RM640 juta untuk tembok yang panjangnya 640km adalah boros,” katanya menerusi catatan di Facebooknya hari ini.

Najib berkata, melihat projek-projek yang diluluskan dalam Belanjawan 2021, beliau bimbang zon utara semenanjung Malaysia tidak cukup projek infrastruktur untuk menjana peluang pekerjaaan baharu.

“Sebab itu, saya sarankan projek ini diteruskan sebab pulangan dari projek ini amat besar dari segi keselamatan Malaysia dan kehilangan cukai hasil akibat penyeludupan,” katanya.

Pada awal pagi Selasa lalu, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, dari Batalion 3 PGA meninggal dunia ditembak penyeludup, sementara rakannya, Sarjan Norihan a/l Tari, 39, cedera parah dalam kejadian dekat Padang Besar.

Semalam, seorang lagi anggota PGA cedera ringan selepas terkena tembakan ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah kira-kira pukul 6.15 petang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here