KELUARGA Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim berharap siasatan mencari penjenayah yang menyebabkan kematian anggota bomba itu, dilakukan segera berikutan sudah terlalu lama menunggu.
Bapa mangsa, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, masih tidak berpuas hati dan kecewa apabila pihak bertanggungjawab tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk membela kematian arwah Adib.
“Sebelum ini, Mahkamah Koroner putuskan kematian Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali, mahkamah itu juga merumuskan kegagalan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam mengawal rusuhan juga menyumbang kematian anak saya.
“Peguam keluarga saya sendiri sudah minta polis segerakan siasatan selanjutnya, sampai sekarang tak nampak apa-apa tangkapan lagi.
“Polis tidak berhubung dengan saya untuk memberitahu sebarang perkembangan terkini,” katanya seperti dilapor BH.
Mohd Kassim, berkata beliau tidak tahu lagi untuk menggambarkan perasaan kecewanya, namun tidak pernah berhenti berharap suatu hari nanti kematian Adib terbela.
Beliau sentiasa berdoa penjenayah yang membunuh anaknya ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.
“Saya tak pernah lupa menziarahi pusara Adib, selain berdoa dan membuat majlis tahlil,” katanya.
Ogos lalu, Mohd Kassim pernah meluahkan perasaan kecewa apabila kertas siasatan anaknya dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara, pada 23 Julai lalu dengan disusuli beberapa cadangan.
Rujukan semula kes itu antara lain mencadangkan 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Muhammad Adib, pada 17 Disember 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin ketika memperincikan perkembangan kes itu berkata, cadangan lain turut dikemukakan adalah membuka semula inkues untuk siasatan jika mendapat persetujuan Peguam Negara. – Malaysiapost

