Muhammad Mustakim Ramli
[PARLIMEN] PROGRAM i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas membabitkan 8 juta pencarum bakal menerima manfaat.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata had pengeluaran i-Sinar juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 membabitkan peruntukan RM70 bilion.
“Saya berbincang lanjut dengan pengurusan KWSP pagi tadi, sukacita diumumkan bahawa program i-Sinar kini dibuka dan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas pendapatan mereka.
“Tidak kira sama ada disebabkan hilang pekerjaan, ataupun telah terkurang pendapatan mereka tahun ini… ahli tersebut layak memohon untuk membuat pengeluaran dari Akaun 1.
“Tanpa mengira sama ada ahli tersebut pekerja sektor formal atau bekerja sendiri, tanpa mengira ahli aktif mencarum atau tidak selagi terjejas pendapatan dengan ketara bolehlah mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 KWSP,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya, golongan terjejas boleh membuat permohonan melalui dalam talian atau ke pejabat KWSP terdekat.
“Mereka cuma perlu memohon di dalam talian atau hadir di mana-mana pejabat KWSP.
“Tunjukkan sahaja bukti mengenai kehilangan pekerjaan, notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau OT mahupun pengurangan pendapatan jika bekerja sendiri,” katanya. – Malaysiapost

