Nurul Huda Abhar
TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menggambarkan Belanjawan 2021 telah melepasi halangan terbesar apabila telah diluluskan selesai penggulungan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, Belanjawan 2021 mencapai kesepakatan Ahli-ahli Parlimen untuk diluluskan adalah demi keutamaan negara dan rakyat.
“Kemaslahatan rakyat sangat mendesak dan Belanjawan 2021 yang diluluskan ini Insha-Allah adalah intervensi yang sangat dinanti-nantikan.
“Ini adalah petanda jelas bahawa dalam keadaan sukar sebegini, kepentingan paling tinggi ialah menggandakan kebajikan, menyelamat perniagaan dan membangun daya tahan ekonomi,” tulisnya di laman Facebook, hari ini.
Mohamad Hasan berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu merancang agar Belanjawan 2021 dapat segera dilaksanakan tanpa ketirisan, karenah birokrasi dan keutamaan yang tersasar.
“Ahli Parlimen pula teruslah berperanan melakukan semak dan imbang bagi memastikan belanjawan yang diluluskan dilaksana dengan sesegera mungkin dengan efisyen,” ujarnya.
Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 peringkat dasar.
RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang tanpa melalui undian belah bahagi.
Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, pada jam 3.28 petang. – Malaysiapost

