KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) wajar melupakan hasrat untuk menghidupkan semula perlaksanaan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST).
Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Faiz Fadzil, berkata cadangan kerajaan itu tidak sesuai dan kena pada masanya.
“Saya menggesa kerajaan PN melupakan hasrat mengkaji semula pelaksanaan GST ini. Biarlah rakyat kembali stabil dari aspek kos sara hidup dan mengukuhkan kembali simpanan mereka untuk beberapa tahun akan datang.
“Jangan pula tangan kanan memberi Bantuan Prihatin Rakyat, tapi tangan kiri merampas kembali wang tersebut dalam bentuk GST,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir berkata, perlaksanaan GST akan kembali menjerut rakyat yang sememangnya sedang bergelut dengan ketidaktentuan ekonomi negara hari ini.
“Dalam keadaan ekonomi masih terumbang-ambing, saya kecewa dan terkejut Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mula mempertimbangkan untuk mengembalikan cukai GST.
“GST jika dilaksanakan semula walaupun selepas ekonomi pulih tahun hadapan, akan terus menekan kuasa beli rakyat yang telah terjejas teruk sejak awal tahun ini.
“Cadangan ini umpama satu mimpi ngeri buat rakyat Malaysia yang telah menolak pelaksanaan GST dengan jatuhnya kerajaan Barisan Nasional (BN) PRU-14 yang lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Faiz juga menggesa kerajaan untuk mencari alternatif lain selain cukai GST bagi mengukuhkan aliran tunai negara.
“Ada banyak cara lain selain GST untuk mengukuhkan aliran tunai negara. Antaranya pengenalan cukai Capital Gains Tax (CGT) atau cukai keuntungan modal.
“Pada ketika ini, keuntungan modal tidak dikenakan cukai kecuali atas penjualan hartanah ataupun Real Property Gains Tax. Keuntungan berjuta-juta ringgit yang dijana di pasaran saham, misalnya, tidak dikenakan sebarang cukai kecuali atas dividen yang diterima,” jelasnya. -Malaysiapost

