TAN Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan akan berbincang membantu memudahkan pemandu dan penghantar makanan serta barangan e-hailing untuk mendapatkan pinjaman kewangan dan bantuan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, beliau akan berbincang dengan beberapa kementerian berkaitan bagi membantu golongan tersebut yang disiatkannya sebagai petugas barisan hadapan yang ‘tidak didendang’.
“Mereka juga menghadapi masalah lain seperti kesukaran mendapatkan pinjaman kewangan dan kekangan bantuan kerajaan seperti subsidi minyak, kerana bekerja sebagai pemandu dan penghantar Grab,” katanya menerusi catatan di Facebooknya.
Beliau hari ini bertemu dengan sekumpulan pemandu dan ‘riders’ Grab bagi mendengar luahan serta permasalahan golongan tersebut.
Muhyiddin berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, sehinggalah kini di fasa PKP Bersyarat (PKPB), banyak yang beliau dengar tentang peranan pemandu dan riders e-hailing.
Perdana Menteri berkata, beliau bangga dengan semangat dan dedikasi mereka yang mencari rezeki halal untuk keluarga demi kelangsungan hidup terutama sejak wabak Covid-19 melanda negara.
“Mendengar luahan hati mereka, saya dapat tahu rata-ratanya menunggu peluang pekerjaan yang lebih baik dan stabil. Namun tidak mahu berpeluk tubuh, mereka menjadi pemandu/rider Grab, sekurang-kurangnya dapatlah membantu menampung kehidupan bersama keluarga.
“Ada antara mereka terpaksa memandu atau menghantar pesanan pelanggan lebih 8 jam sehari. Ramai juga yang telah menjadi pemandu atau riders sepenuh masa setelah hilang pekerjaan tetap,” katanya.
Beliau berkata, sebelum Covid-19, mereka memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM4,000 ke RM5,000 sebulan, namun sekarang hanya sekitar RM2,000 ke RM2,500 sebulan atau kurang.
“Sekarang ini kalau mendapat RM100 sehari pun mereka mampu tersenyum tetapi jika mereka mendapat RM150 sehari, bolehlah mereka tersenyum lebar,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau juga berpeluang bertemu pasangan suami isteri kurang upaya (OKU), Puan Siti Fatimah dan suaminya, Nijaz Nathan Vellasamy dan kagum kerana mereka terus gigih menjadi pemandu OKU tanpa menjadikan kekurangan sebagai penghalang mencari rezeki.
“Saya difahamkan terdapat lebih 200 pemandu OKU yang beroperasi dalam perkhidmatan Grab pada waktu ini.
“Mereka minta kerajaan beri sokongan kepada pemandu OKU dengan mempermudah syarat pengambilan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) yang dikatakan amat ketat, dan membolehkan mereka bekerja seperti pemandu e-hailing lain,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan pemandu dan penghantar Grab juga melahirkan kebimbangan mengenai peraturan Lesen Perubahan Sementara (LPS) dan garis panduan perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan atau p-hailing yang khabarnya akan dilaksanakan Kementerian Pengangkutan (MOT) sedikit masa lagi.
“Saya akan meminta MOT meneliti semula perkara ini dengan seberapa segera.
“Saya amat menghargai sumbangan besar pemandu dan riders dalam menjana ekonomi negara. Mereka bukan sahaja mencari rezeki untuk diri sendiri bahkan membantu memperluas rantaian ekonomi peniaga lain,” katanya sambil meminta mereka jangan sesekali lupa menjaga keselamatan diri. – Malaysiapost

