
SETIAP individu dari Sabah hanya perlu menjalani ujian calitan pengesanan Covid-19, tiga hari sebelum berlepas dari negeri itu ke destinasi lain di seluruh negara, mulai esok.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata semakan semula prosedur saringan kesihatan bagi pengembara dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah, mengambil kira situasi semasa kes Covid-9 di negeri itu.
“Perkara ini juga sudah dibincangkan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, berkuat kuasa 11 Oktober lalu, peraturan bagi semua pengembara yang tiba dari Sabah diperketatkan dengan mewajibkan mereka melalui pelbagai prosedur termasuk aktiviti saringan gejala, ujian calitan dan kuarantin wajib 14 hari bermula tarikh ketibaan di pintu masuk.
Beliau berkata, sebulan pelaksanaannya, semakan semula ke atas prosedur saringan Covid-19 dan prosedur kuarantin wajib bagi mereka yang tiba dari Sabah di pintu masuk negara sudah dijalankan oleh KKM.
Menurut Dr Adham, pengembara diwajibkan menjalani ujian calitan tiga hari sebelum berlepas dan sekiranya didapati mereka positif Covid-19 atau bergejala, individu ini tidak akan dibenarkan meneruskan perjalanan keluar dari Sabah.
“Bagi yang positif Covid-19, mereka akan dirujuk ke hospital untuk isolasi, rawatan dan pemantauan manakala individu bergejala akan dirujuk untuk menjalani pemeriksaan,” katanya.
Beliau berkata, bagi pengembara yang dibenarkan meneruskan perjalanan keluar dari Sabah, mereka akan melalui saringan demam dan gejala, pemeriksaan laporan ujian calitan Covid-19 dan diwajibkan penggunaan aplikasi MySejahtera setibanya di pintu masuk di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.
“Jika mereka tidak bergejala dan laporan ujian makmal Covid-19 disahkan negatif, pengembara ini tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari,” katanya.
Dr Adham berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko ke atas situasi kejadian kes Covid-19 di Malaysia.
“Jumlah kes menunjukkan trend penurunan bagi Sabah berbanding trend yang dilaporkan di negeri di Semenanjung Malaysia terutama di sekitar Lembah Kelang.
“Merujuk kepada laporan mingguan kes positif Covid-19 pada minggu epid ke-43/2020, jumlah kes baharu dilaporkan di Sabah adalah 4,548 berbanding jumlah kes mingguan di Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) berjumlah 821 kes positif Covid-19.
“Namun begitu, pada minggu epid ke-47/2020, jumlah kes baharu di Sabah adalah 3,073 iaitu menunjukkan penurunan sebanyak 32.4 peratus, berbanding Lembah Klang sebanyak 3,041 kes iaitu peningkatan 270 peratus,” katanya. – Malaysiapost
